KKM lapor 376 kematian baharu Covid-19


Ravin Palanisamy

Sebanyak 376 kematian akibat Covid-19 setakat tengah malam semalam menjadikan jumlah keseluruhan di seluruh negara seramai 23,443 orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan 376 kematian akibat Covid-19 setakat tengah malam semalam menjadikan jumlah keseluruhan di seluruh negara seramai 23,443 orang.

Menurut laman web kementerian CovidNow, 75 daripada kematian yang dinyatakan adalah kes kematian di luar hospital.

Sementara itu, hanya tujuh orang yang meninggal dunia semalam, selebihnya adalah kes tertunggak yang sebelum ini tidak dilaporkan.

Kementerian berkata laporan kes tertunggak itu disebabkan pekerja kesihatan dibebani tugas dalam beberapa bulan terakhir yang menyebabkan kelewatan dalam siasatan dan laporan kematian.

Oleh kerana itu, laporan harian mungkin berbeza-beza dari jumlah kematian sebenar yang berlaku dalam sehari semasa kes tertunggak diselesaikan. 

Dua petunjuk untuk pengiran kematian harian Covid-19 adalah kes yang dilaporkan setiap hari, kes tertunggak dan purata tujuh hari kes.

Purata tujuh hari untuk kematian Covid semalam adalah 110.

Terdapat 148 kematian di Selangor, diikuti oleh 43 di Johor, 35 di Sabah, 32 di Kelantan, 29 di Pulau Pinang, 25 di Kedah, 23 di Sarawak, 14 di Kuala Lumpur, lapan di Perak, tujuh di Terengganu, enam di Pahang, empat di Negeri Sembilan dan dua di Melaka.

Tiada kematian dilaporkan di Perlis, Labuan atau Putrajaya.

Berdasarkan purata tujuh hari, kematian menurun dengan ketara di semua negeri kecuali Johor.

Semalam, Malaysia melaporkan 23,469 kes pulih berbanding 15,954 kes baharu menjadikan kes aktif di negara ini menurun kepada 210,468. – 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen