IS mengaku serang Taliban di Jalalabad


Sebuah pikap membawa pejuang Taliban menjadi sasaran bom di bandar Jalalabad Afghanistan semalam, lapor media tempatan. – Gambar AFP, 20 September, 2021.

ISLAMIC State-Khorasan (IS-K) mengaku bertanggungjawab ke atas serangan terhadap kumpulan pejuang Taliban di bandar Jalalabad, Afghanistan.

Menurut kenyataan dikeluarkan pasukan propaganda Amaq, kumpulan itu mendakwa tiga serangan bom berasingan menyasarkan tiga kenderaan Taliban di Jalalabad pada Sabtu dan satu lagi serangan bom semalam terhadap sebuah kenderaan Taliban.

Sebuah pikap membawa pejuang Taliban menjadi sasaran bom di bandar Jalalabad Afghanistan semalam, lapor media tempatan.

Saksi memberitahu media tempatan beberapa pejuang Taliban yang cedera dibawa ke hospital susulan letupan itu, yang menurut seorang wartawan berlaku berhampiran persimpangan ke dan dari ibu negara, Kabul.

Sehari sebelumnya, sekurang-kurangnya dua terbunuh dalam siri letupan di kawasan itu, letupan maut pertama sejak pasukan Amerika Syarikat terakhir menarik diri dari Afghanistan pada 30 Ogos lalu.

IS-K juga mengaku bertanggungjawab atas serangan yang mengorbankan lebih 100 orang di lapangan terbang Kabul pada akhir Ogos lalu.

Bandar timur Jalalabad adalah ibu kota wilayah Nangarhar, pusat cawangan kumpulan IS Afghanistan.

IS dan Taliban berbeza dalam isu agama dan strategi, sekali gus mencetuskan perbalahan yang meragut nyawa antara kedua-dua kumpulan. – AFP, 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen