Gunung berapi Cumbre Vieja meletus selepas 50 tahun


Gunung berapi Cumbre Vieja di kepulauan Canary di Sepanyol meletus semalam, memuntahkan lava, debu dan asap tebal. – Gambar AFP, 20 September, 2021.

GUNUNG berapi Cumbre Vieja di kawasan kepulauan Canary di Sepanyol meletus semalam, memuntahkan lava, debu dan asap tebal, selepas beberapa hari aktiviti seismik dikesan meningkat di situ.

Susulan itu, kira-kira 5,000 penduduk tempatan dipindahkan, kata pihak berkuasa.

Cumbre Vieja, kali terakhir meletus 50 tahun lalu, dengan kesannya sehingga ke selatan pulau La Palma, yang juga kawasan penempatan 80,000 penduduk.

“Letusan bermula di zon Cabeza de Vaca di El Paso kira-kira 3 petang waktu tempatan,” kata pihak berkuasa di Twitter.

Penduduk diarah mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara selepas berpuluh-puluh kawasan diletakkan di bawah amaran berjaga-jaga maksimum.

“Orang ramai diminta sangat berhati-hati dan menjauhi zon letusan,” kata pihak berkuasa tempatan.

Zon berkenaan termasuk dalam kawasan hutan dan kurang penduduk. Tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Lava terkena hingga ke beberapa rumah dan menyebabkan banyak jalan raya ditutup.

Menurut ramalan pihak berkuasa, aliran lava dari gunung berapi yang terletak di tengah pulau berkenaan, mungkin menuju ke kawasan barat daya yang tidak berpenghuni, sebelum tiba di pantai. – AFP, 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen