KEM pendatang Vathy di Pulau Samos, Greece terbakar dalam satu kejadian semalam.
Datuk Bandar Samos Girgos Stantzos berkata semua penghuni dipindahkan ke tempat selamat ketika kebakaran berlaku.
Lima jentera bomba dikerah untuk memadamkan kebakaran, sementara Kementerian Imigresen menerusi kenyataan berkata kebakaran itu dapat dikawal.
Beberapa pelarian termasuk kanak-kanak dilihat menangis ketika dibawa berkumpul di kawasan letak kereta berhampiran kem itu.
“Mereka yang berada di dalam kem tidak berada dalam keadaan bahaya berikutan kebakaran membabitkan gudang terbengkalai di bahagian barat kem,” menurut kementerian.
Kem yang akan ditutup hujung bulan ini masih menempatkan kira-kira 300 pelarian yang sedang menunggu untuk dipindahkan ke kem baharu.
Kem baru dibuka Sabtu lalu oleh Menteri Imigresen Notis Mitarachi antara lima kem pelarian yang mendapat bantahan kumpulan hak asasi manusia berikutan kawalan akses keluar masuk yang ketat.
Kawat duri memagari seluruh kawasan berkeluasan 12,000 meter persegi yang antara lain dilengkapi kamera pemantauan, pengimbas sinar X dan pintu magnetik.
Ia turut menempatkan pusat tahanan pendatang dan pencari suaka yang sudah ditolak dan akan dihantar kembali ke Turki.
Keadaan di kem Vathy sering mendapat kritikan sejak dulu. Ia terletak di satu pulau Aegean yang menempatkan pelarian dari Turki. Antara 2015 dan 2016, ia dihuni hampir 7,000 pencari suaka walaupun kem itu hanya boleh memuatkan 680 orang.
Setahun lalu, kem yang penuh sesak di Moria, di pulau berdekatan Lesbos terbakar dalam dua kebakaran menyebabkan 13,000 penghuni tiada tempat berlindung selama beberapa hari. – AFP, 20 September, 2021.
Komen