Lebah sengat mati lebih 60 penguin di Afrika Selatan


Penguin Afrika yang mendiami pantai dan pulau di Afrika Selatan berada dalam senarai merah Kesatuan Pemuliharaan Semula Jadi Antarabangsa iaitu haiwan berisiko tinggi untuk pupus. – Gambar AFP, 20 September, 2021.

LEBIH 60 penguin yang juga spesies terancam mati akibat disengat lebah di pantai luar Cape Town, menurut Yayasan Afrika Selatan untuk Pemuliharaan Burung Pesisir, semalam.

“Selepas diperiksa, kami temui sengat lebah di sekitar mata 63 ekor penguin.

“Kejadian ini sangat jarang berlaku. Kami tidak menjangkakan ini akan berlaku secara kerap, ia satu kebetulan. Ada juga lebah yang ditemui mati di tempat kejadian,” kata doktor haiwan klinik yayasan itu, David Roberts.

Kawasan terbabit adalah taman negara dan lebah madu Cape sebahagian daripada ekosistem.

“Penguin itu tidak sepatutnya mati seperti itu kerana ia spesies terancam kepupusan dan dilindungi,” katanya.

Taman Negara Afrika Selatan berkata bangkai haiwan itu dibawa ke yayasan bagi bedah siasat dan sampelnya dihantar untuk ujian penyakit dan toksikologi.

“Tiada kecederaan fizikal luaran ditemui pada penguin berkenaan,” menurut kenyataan taman negara itu.

Hasil bedah siasat menunjukkan semua penguin mempunyai sengatan lebah.

Penguin Afrika yang mendiami pantai dan pulau di Afrika Selatan berada dalam senarai merah Kesatuan Pemuliharaan Semula Jadi Antarabangsa iaitu haiwan berisiko tinggi untuk pupus. – AFP, 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen