2 lokaliti di Pahang dikenakan PKPD mulai esok, kata MKN


Keputusan melaksanakan PKPD di dua lokaliti di Pahang dibuat setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Rodzi Md Saad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September 2021.

DUA lokaliti di Pahang iaitu Kampung Orang Asli Sungai Koi, Hulu Cheka, Jerantut dan Kampung Orang Asli Ulu Pareh, Bentong, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 3 Oktober depan.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Rodzi Md Saad memaklumkan keputusan dibuat setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook hari ini.

Menurut Rodzi, PKPD di Taman Pantai Lok Kawi, Papar, Sabah, yang sepatutnya tamat esok, dilanjutkan sehingga 4 Oktober.

Sementara itu, PKPD di Kampung Nelayan Benut, Mukim Sungai Pinggan, Pontian di Johor dan empat lokaliti di Sabah iaitu Kampung Buanog Matunggong di Kudat; Kampung Tetabuan di Beluran; Kampung Magatang di Keningau dan Kampung Kilanas di Ranau ditamatkan esok seperti yang dijadualkan. – Bernama, 19 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen