Pulau di Terengganu terus suram, pengusaha khuatir ujikaji


Diyana Ibrahim

Sektor pelancongan terjejas teruk sejak PKP penuh dikuatkuasa semula pada Jun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September 2021.

MASIH belum ramai pelancong berkunjung ke pulau peranginan di Terengganu walau lokasi tersebut mula dibuka kepada pelancong dalam negeri minggu lalu, kata pengusaha.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, majoriti pengusaha masih bergelut jika hanya terus bergantung kepada pelancong domestik.

Pada masa sama, kalangan pengusaha ini juga lebih rela untuk terus menutup operasi dan hanya membuka semula apabila keadaan benar-benar selamat untuk mengelak terus kerugian.

Pemilik resort dan chalet di Pulau Kapas, Yahaya Mamat berkata beliau agak terkejut dengan kunjungan yang sedikit kerana pulau tersebut terkenal di kalangan penduduk tempatan.

Beliau yang menjalankan perniagaan sejak tujuh tahun lalu di Pulau Kapas berkata beliau hairan kerana lokasi itu begitu hampir dan hanya mengambil masa 20 minit dari jeti Marang.

“Pulau Kapas ini terkenal dengan penduduk tempatan kerana pulau ini yang paling dekat dengan bandar Kuala Terengganu.

“Tapi sejak dibuka memang sangat kurang orang yang datang tak seperti yang kita jangkakan.

“Kalau ramai pun hanya masa sambutan Hari Malaysia Khamis lepas, tapi selepas itu memang resort kami kosong balik, ” katanya.

Beliau menjangka, sambutan hambar itu mungkin disebabkan masih ramai lagi rakyat Terengganu belum menerima dos lengkap vaksin.

“Kemudian boleh jadi juga majoritinya memilih untuk balik hari, tidak bermalam di resort atau chalet,” katanya.

Sektor pelancongan mula dibuka di Terengganu bagi pelancong dalam negeri bermula 1 September apabila negeri itu beralih ke Fasa 3 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Hanya 16 pengusaha yang beroperasi selepas Pulau Perhentian ditutup sepenuhnya pada Ogos, kata persatuan pengusaha. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September 2021.

Sektor tersebut terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dikuatkuasa semula pada Jun.

Ia menyebabkan ramai pengusaha dan penduduk yang bergantung pendapatan dengan sumber pelancongan terjejas teruk.

Kerajaan Terengganu menganggarkan sektor itu kehilangan kira-kira 500,000 pelancong sepanjang tahun ini ekoran kawalan berkenaan.

Format kawalan PKP diubah pada Julai kepada PPN berperingkat dengan kelonggaran bertahap dari Fasa 1 hingga Fasa 3.

Kemudahan rentas negeri untuk melancong kini hanya dibenarkan kepada individu menerima vaksin lengkap bermula di negeri dalam Fasa 2 PPN.

Selain Pulau Kapas, Pangkor, Redang, Tioman dan Perhentian juga dibenarkan dibuka bermula September manakala Pulau Langkawi dibuka dalam program gelembung pelancongan.

Namun dengan kawalan Fasa 3 PPN, masih ramai pengusaha seperti di Pulau Perhentian memilih untuk menangguhkan pembukaan operasi.

Menurut Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, kini hanya 16 pengusaha yang beroperasi selepas pulau itu ditututp sepenuhnya pada Ogos.

Pengerusinya Abdul Aziz Che Abdullah berkata mereka sememangnya menunggu pulau peranginan di Terengganu juga dibuka kepada individu yang lengkap vaksin seperti Langkawi.

“Sebab kalau nak harapkan pelancong domestik memang sukar, tambahan pula bagi pengusaha Pulau Perhentian bergantung kepada pelancong luar terutama dari Kelantan.

“Disebabkan Pulau Perhentian bersempadan dengan Kelantan jadi pulau ini akan jadi pilihan rakyat negeri itu.

“Cuma itulah kita faham apa-apa pun kelulusan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sudah tentu bukan mudah untuk memutuskan hal itu kerana banyak perkara yang perlu dipertimbangkan.”

Pengusaha di Pulau Redang juga melihat suasana masih suram dengan ketibaan hanya kira-kira 10% pelancong daripada jumlah biasa selepas pulau itu dibuka pada awal bulan ini.

Pengusaha resort Redang Bay Lim You Jing ia menyebabkan hanya empat daripada 13 resort di pulau terrsebut memilih untuk membuka operasi.

“Yang lain termasuk saya sendiri pun tak buka resort. Sebab kalau kita bergantung hanya kepada pelancong domestik memang sukar.

“Kalau kita buka juga maksudnya kita akan lagi rugi sebab hanya beroperasi sebulan saja dan selepas itu tutup kerana musim tengkujuh jadi kos kita buka akan lebih besar berbanding tutup.”

Beliau menjangka, prosedur operasi standard (SOP) ketat mungkin menjadi salah satu punca pelancong tempatan kurang tertarik untuk mengunjungi pulau tersebut.

Lim bagaimanapun tidak bersetuju pulau peranginan seperti Redang turut dijadikan gelembung pelancongan sama seperti Langkawi untuk ujikaji.

“Bagi kami Langkawi memang jelas satu kegagalan, dan kita tidak mahu begitu di Pulau Redang. Kalau kita buka menerusi gelembung pelancongan dan kes naik akhirnya kita akan dipaksa tutup.

“Jadi buka tutup, ini sampai bila berulang saja senario begini, memang susahlah kita nak bertahan,” katanya.

Beliau berkata salah satu jalan terbaik untuk masalah itu dengan mengharapkan kes Covid-19 betul- betul turun dan barulah pengusaha akan yakin untuk membuka operasi mereka.

“Bila kes turun dan keadaan reda barulah kita boleh buka operasi. Itu harapan kita supaya tahun keadaan akan bertambah baik,” katanya.

Kerajaan pada peringkat awal membenarkan semua individu dengan vaksin lengkap mengunjungi Langkawi tanpa perlu menjalani ujian Covid-19, namun mengubah pendirian ekoran tekanan.

Ujian yang dijalankan bermula 16 September kemudian berjaya mengesan beberapa kes di lokasi perlepasan sebelum pelancong berkenaan dibenarkan menaiki pengangkutan ke pulau itu.

Dalam program menarik 200,000 pelancong ke Langkawi itu, saringan antara lain dijalankan di Lapangan Terbang Pulau Pinang, Subang di pengkalan feri Kuala Perlis.

Kementerian pelancongan mahu memantau perkembangan aktiviti pelancongan di pulau itu selama dua minggu sebelum membuat keputusan membuka destinasi pulau lain.

Liputan vaksin di destinasi pulau selain Langkawi kini didapati melebihi 80% dan ada yang sudah divaksin sepenuhnya. – 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen