Putrajaya digesa perluas gelembung perjalanan ke pulau lain


Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia cadang pulau peranginan popular lain seperti Pangkor, Tioman dan Redang turut dibuka semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September 2021.

PEMAIN industri pelancongan mahu kerajaan membuka semula pulau peranginan lain di bawah inisiatif gelembung perjalanan setelah diperkenalkan di Langkawi awal minggu ini.

Langkawi menyaksikan projek contoh gelembung perjalanan dan menerima kumpulan pelancong pertama pada 16 September lalu di bawah protokol kesihatan yang ketat.

Berikutan itu, pemain industri menggesa kerajaan supaya membuka semula pulau-pulau peranginan popular lain seperti Pangkor, Tioman dan Redang.

Tambah mereka, pembukaan kembali pulau terkenal ini juga akan mengelakkan pelancong berpusu-pusu ke Langkawi yang akan meningkatkan risiko penularan Covid-19.

Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata pengusaha pelancongan sudah memberikan cadangan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam pertemuan pada 15 September lalu.

Katanya, Dr Noor Hisham memberi beberapa maklumat terkini mengenai status pandemik tersebut dan menggesa pengusaha pelancongan untuk memastikan pelancong sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Uzaidi berkata, Dr Noor Hisham juga sudah maklum berhubung sebahagian besar rakyat mengunjungi pantai, air terjun dan tempat rekreasi lain di Selangor sebaik sahaja negeri itu melangkah ke fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.

Beliau berkata Dr Noor Hisham juga bimbang apabila ramai yang menanggalkan pelitup muka sewaktu berkelah di air terjun.

“Malaysia berbeza dengan Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Di negara Eropah dan AS mereka sudah bergerak ke arah endemik, sementara Malaysia mahu memutuskan rantaian penularan,” kata Uzaidi.

“Untuk mencapai keseimbangan ini, pihak industri mencadangkan pulau di pantai timur dibuka,” katanya.

Membuka lebih banyak tarikan boleh menyimpangkan tumpuan pelancong dan membantu ekonomi di kawasan lain, kata pemain industri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September 2021.

Bagaimanapun, Uzaidi berkata berikutan musim tengkujuh yang bakal melanda Oktober ini, pulau di pantai Timur mungkin tidak sesuai untuk dibuka semula pada kadar segera.

Oleh itu, beliau mencadangkan pulau seperti Redang dibuka selama sebulan, sementara Langkawi dapat dikunjungi sepanjang tahun.

“Pihak industri pelancongan dimaklumkan pertimbangan kerajaan adalah mengguna pakai Langkawi sebagai contoh. Jika pembukaan pelancongan tidak mencetuskan wabak di luar kawalan maka lebih banyak pulau dapat dibuka.

“Kami percaya pulau pantai timur dapat dibuka dan hanya ada sebulan lagi sebelum musim tengkujuh. Ia harus dibuka selama sebulan bagi membolehkan penduduk dapat mencari pendapatan kerana kebanyakan mereka bergantung sepenuhnya kepada sektor pelancongan bagi meneruskan kelangsungan hidup dan sudah tidak mempunyai pendapatan lebih 20 bulan,” katanya.

Uzaidi memberitahu The Malaysian Insight setelah pelonggaran sekatan di Selangor dan Kuala Lumpur, ramai merebut peluang keemasan itu untuk melakukan perjalanan dan kebanyakan pelancong di Langkawi dari Lembah Klang.

“Kedua-dua hotel dan tiket penerbangan ditempah sepenuhnya. Pelancong hanya boleh memilih Langkawi. Membuka lebih banyak tarikan boleh menyimpangkan tumpuan pelancong dan membantu ekonomi di kawasan lain,” katanya. – 20 September, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen