Gimnasium di lot kedai tiada isu sistem pengudaraan, kata pengusaha


Elill Easwaran

Presiden Persatuan Usahawan Gimnasium Malaysia Krishnakumar Kalimuthu berkata, beliau perlu menghabiskan modal tambahan hampir RM3,000 setiap bulan bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan. – Gambar EPA, 19 September 2021.

PEMILIK gimnasium yang beroperasi di lot kedai berkata mereka mungkin membuka semula premis perniagaan berkenaan lebih awal kerana tidak mempunyai isu berkaitan sistem pengudaraan.

Ia tidak seperti masalah yang dihadapi gimnasium dan rangkaian pusat kecergasan besar di pusat membeli-belah.

Mereka juga tidak melihat perniagaan mereka dapat membuat keuntungan dalam tempoh terdekat, namun mereka tetap bersyukur selepas kerajaan membenarkan gimnasium dibuka semula untuk negeri di Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ini kerana pengendali harus mengeluarkan lebih banyak modal bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Presiden Persatuan Usahawan Gimnasium Malaysia Krishnakumar Kalimuthu berkata, beliau perlu menghabiskan modal tambahan hampir RM3,000 setiap bulan.

“Kosnya termasuk membeli pembersih kuman dan mengambil pekerja tambahan bagi memantau SOP,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Perniagaan merosot 50% berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang lama dan beliau tidak fikir pelanggan akan kembali pusat kecergasan itu dalam masa terdekat, walaupun kerajaan mengumumkan kebenaran pembukaan semula gimnasium Jumaat lalu.

“Apabila semakin banyak sektor ekonomi dibuka semula, orang akan mengutamakan untuk bercuti. Kembali ke gimnasium akan menjadi pilihan kedua bagi mereka,” katanya.

Krishnakumar berkata kira-kira 115 daripada 400 gimnasium kategori lot kedai yang berdaftar dengan persatuanya di seluruh negara terpaksa gulung tikar susulan kawalan pergerakan.

Krishnakumar juga berpendapat kerajaan sepatutnya tidak menimbulkan tanggapan bahawa semua gimnasium adalah tempat berisiko tinggi Covid-19.

Ini kerana, katanya gimnasium yang beroperasi di lot kedai lebih selamat dari segi sistem pengudaraannya.

“Kerajaan juga perlu menanggung kerugian kami. Mereka terus menerus menganggap gimnasium adalah kawasan berisiko tinggi.

“Ketika mereka buat pertama kali membenarkan semua sukan ‘indoor’ beroperasi kecuali gimnasium, itu sendiri menimbulkan rasa kegusaran di kalangan rakyat bahawa gim sangat berisiko tinggi.” – 19 September, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen