PENINJU Filipina Manny Pacquiao pada Ahad mengumumkan untuk bertanding pada pilihan raya presiden pada 2022, sekaligus menamatkan spekulasi berhubung perkara itu.
“Sudah tiba masanya, kita sudah sedia untuk bangkit mencabar kepimpinan,” kata Pacquiao selepas menerima pencalonan untuk menentang parti pemerintah yang diterajui Presiden Rodrigo Duterte.
Juara dunia lapan kali dan wira negara berkenaan membuat pengumuman itu beberapa minggu selepas tewas pada apa yang disifatkan sebagai pertarungan profesional terakhirnya melawan Cuba Yordenis Ugas di Las Vegas.
Pacquiao, yang menyertai politik pada tahun 2010 sebagai anggota kongres sebelum terpilih menjadi senat, telah lama dijangkakan untuk bertanding jawatan tertinggi di negara itu.
Petinju berusia 42 tahun itu sangat dikagumi di negaranya kerana kemurahan hati dan mengeluarkan dirinya dari kepompong kemiskinan untuk menjadi salah seorang petinju terhebat dan terkaya di dunia.
Kredibilitinya dalam sukan tinju bersama dengan memerangi kemiskinan dan rasuah mungkin menjadi tema utama dalam kempennya.
“Bagi mereka yang bertanya apakah kelayakan saya, adakah anda pernah kelaparan?” soal Pacquiao pada persidangan kebangsaan yang diadakan oleh kumpulan anti-Duterte PDP-Laban.
“Adakah anda pernah mengalami keadaan tiada makanan, meminjam wang dari jiran anda atau menunggu sisa makanan di sebuah gerai makanan? Manny Pacquiao yang ada di hadapan anda dibentuk oleh kemiskinan.”
Pengaruh Pacquiao yang kuat di negaranya akan meletakkan beliau di kedudukan yang kukuh dalam pemilihan presiden. – AFP, 19 September, 2021.
Komen