Ismail mahu rapatkan musuh, tapi lantik Najib bukan idea bernas, kata penganalisis 


Alfian Z.M. Tahir

Ismail Sabri Yaakob dilihat berusaha atasi penentangan daripada semua pihak bagi memastikan dirinya disokong sebagai perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2021.

ISMAIL Sabri Yaakob berusaha untuk mengatasi penentangan daripada semua pihak bagi memastikan mereka menyokongnya sebagai perdana menteri, kata pemerhati politik ketika timbul desas-desus mengenai bekas perdana menteri Najib Razak menjadi penasihat ekonominya.

Menurut mereka Ismail cuba mengukuhkan kedudukannya dengan memastikan semua pihak menyokongnya sehingga pilihan raya umum akan datang. 

Bagaimanapun kata mereka, langkah untuk memberikan Najib jawatan bukanlah satu idea yang baik. 

Naib presiden Umno itu baru-baru ini cuba memujuk gabungan pembangkang Pakatan Harapan untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan menamakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi majlis pemulihan negara. 

Kini timbul desas-desus beliau akan mendapatkan Najib – yang menjadi musuh pada pentadbiran Muhyiddin – untuk dilantik sebagai penasihat. 

“Ismail dapatkan PH untuk tandatangani MoU, beliau memilih Muhyiddin untuk mempengerusikan MPN dan kini beliau mahu Najib dilantik sebagai penasihat ekonominya. Jelas sekali, beliau mahu semua yang mempunyai pengaruh menyokongnya sebagai PM,” kata felo Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Dr Oh Ei Sun.

“Namun bagaimana beliau akan tangani mereka? Hubungan Muhyiddin dan Najib tidak baik namun kedua-duanya (sekiranya Najib dilantik) perlu bekerjasama untuk menyelesaikan isu ekonomi negara. 

“Bolehkah mereka bekerjasama terutamanya selepas kenyataan Muhyiddin sebelum ini yang beliau tidak akan bekerjasama dengan kleptokrat dalam Umno? Selain itu, bolehkah PH bekerjasama dengan Muhyiddin? Ismail perlu melihat semula kemungkinan ini,” tambahnya. 

Timbul desas-desus Najib Razak yang menjadi musuh pentadbiran Muhyiddin Yassin akan dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2021.

Minggu lalu, Ismail Sabri dan PH menandatangani MoU untuk kestabilan politik dan pembaharuan. 

Di bawah MoU itu, Ismail menawarkan tujuh pembaharuan Parlimen dan tadbir urus kepada pembangkang, termasuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun dan mengusul rang undang-undang anti lompat parti. 

Beliau turut menawarkan status menteri kepada ketua pembangkang, serta wakil yang sama arata antara ahli Parlimen pembangkang dan penyokong kerajaan dalam jawatankuasa pemilihan khas Parlimen. 

Seminggu sebelum permeteraian MoU yang bersejarah itu, Putrajaya mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara dengan status menteri. 

Pengarah eksekutif Ilham Center Hisomuddin Bakar berkata Ismail juga dilihat cuba merealisasikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ dengan melantik Najib sebagai penasihat. 

“Beliau dapat PAS, MCA, MIC, Bersatu dan PH, dan kini mahu melantik Najib untuk menjadikan konsep Keluarga Malaysia satu realiti. 

“Namun sebetulnya, ini bermaksud bahawa beliau tidak akan menghadapi ancaman dari mana-mana kumpulan ini.

“Ini adalah langkah berani untuk melantik Najib kerana ia pasti akan mendapat bantahan dari orang ramai berdasarkan imej Najib.

“Beliau perlu mengesahkan pelantikan itu tetapi dalam masa yang sama beliau mahu penyokong Zahid dalam Umno meredakan keadaan,” kata Hisomuddin. – 20 September, 2021.
 
Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen