Tempahan vaksin melonjak selepas Itali wajibkan pas Covid-19


Tempahan dos pertama vaksin di Itali meningkat 35% berbanding tempoh yang sama minggu sebelumnya. – Gambar EPA, 19 September 2021.

TEMPAHAN bagi mendapatkan vaksin di Itali melonjak minggu ini selepas kerajaan negara itu mengumumkan bahawa semua pekerja mesti menunjukkan bukti sudah menerima suntikan, disahkan negatif atau telah pulih daripada Covid-19 baru-baru ini, kata pihak berkuasa.

“Pada peringkat kebangsaan, terdapat peningkatan secara umum dalam tempahan untuk dos pertama antara 20% dan 40% berbanding minggu lalu,” kata persuruhjaya, Francesco Figliuolo dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, tempahan dos pertama vaksin meningkat 35% berbanding waktu yang sama minggu sebelumnya tanpa memberikan angka sebenar.

Hampir 41 juta penduduk Itali telah lengkap divaksinasi setakat ini. Berdasarkan data yang dikeluarkan kerajaan negara itu menunjukkan – hampir 76% adalah penduduk berusia lebih 12 tahun.

Namun, pihak berkuasa tetap khuatir dengan penangguhan menjelang selsema musim sejuk. Justeru, kerajaan Itali mengambil langkap memperluaskan program yang dikenali sebagai “Green Pass” kepada semua tempat kerja awam dan swasta.

Diperkenalkan pada Ogos khusus untuk pengendali restoran, muzium dan acara sukan, pas berkenaan menunjukkan bukti vaksinasi, ujian negatif Covid-19 atau pemulihan daripada virus itu baru-baru ini.

Minggu ini, kerajaan perpadauan pimpinan Perdana Menteri Mario Draghi bersetuju untuk memperluasnya ke semua tempat kerja mulai 15 Oktober dengan pekerja yang enggan mematuhi dianggap tidak hadir tanpa gaji.

Mereka yang dikecualikan menerima vaksin kerana masalah kesihatan akan diberikan ujian Covid-19  secara percuma.

Itali adalah negara Eropah pertama berdepan tekanan penuh pandemik ini pada Februari 2020 dan mencatatkan jumlah kematian terburuk dalam kalangan Kesatuan Eropah dengan lebih 130,000 korban.

Ekonomi merudum hingga menyebabkan kemelesetan teruk susulan kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan tahun lalu.

Bagaimanapun, dengan jumlah kes yang terkawal sejak musim bunga, pertumbuhan dijangka meningkat tahun ini dibantu suntikan dana pemulihan EU yang besar. – 19 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen