PEMBANGKANG anti-junta Myanmar melancarkan serangan bom ke atas pasukan keselamatan dekat Yangon menyebabkan beberapa orang terbunuh dalam kejadian tembah menembak, kata tentera dan media.
Myanmar berada dalam kancah pergolakan sejak tentera menggulingkan kerajaan dipilih pimpinan Aung San Suu Kyi pada Februari sekali gus mencetuskan protes pro-demokrasi besar-besaran dan tindakan kejam tentera.
Berberapa perbandaran di seluruh negara itu telah membentuk apa yang disebut “pasukan pertahanan rakyat” untuk menentang junta walaupun sebahagian besar pertempuran dilaporkan tercetus di luar bandar.
Konvoi pasukan keselamatan melakukan pergerakan melalui Khayan, pinggir pusat komersial Myanmar Yangon pada Jumaat ketika mereka diserang dengan bom buatan sendiri, kata junta dalam satu kenyataan semalam.
“Kedua-dua kumpulan melepaskan tembakan – anggota pasukan keselamatan cedera,” kata kenyataan itu sambil menambah senjata api dan peluru dirampas selepas pertempuran itu.
“Beberapa pengganas ... (terbunuh), salah seorangnya cedera.”
Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya dua pembangkang terbunuh dan seorang ditahan.
Awal bulan ini, “Kerajaan Perpaduan Nasional” yang terdiri daripada kebanyakan ahli Parlimen gabungan dengan pihak digulingkan, Suu Kyi melancarkan “perang pertahanan rakyat” dan mendesak orang awam menyasarkan aset junta.
Menara komunikasi milik syarikat Mytel milik tentera disasarkan di seluruh Myanmar.
Konflik juga meningkat di wilayah Sagaing dan Magway minggu ini, di mana penduduk tempatan mendakwa tentera membakar rumah dan mengusir ribuan orang.
“Tentera menghancurkan wilayah kami susulan penentangan penduduk setempat,” kata seorang wanita berusia 25 tahun dari bandar Gangway Magway kepada AFP.
“Saya kehilangan beberapa rakan saya ... Saya cukup sedih kerana saya menyaksikan semua kekejaman mereka di depan mata sendiri,” katanya. – AFP, 19 September, 2021.
Komen