Kampung dibakar di Rakhine, kata Bangladesh 


Seorang anggota tentera Myanmar dilihat sedang berkawal di sebuah perkampungan etnik Rohingya di negeri Rakhine, Myanmar. Keganasan mula tercetus di negeri berkenaan selepas pihak tentera Myanmar menjalankan kempen keganasan ke atas etnik Rohingya.– Gambar EPA, 23 Januari, 2018.

PIHAK berkuasa Bangladesh pada Selasa berkata berlaku kebakaran dan bunyi tembakan kedengaran di perkampungan di seberang sempadan negeri bergolak Rakhine di Myanmar, di mana pihak berkuasa mahu menghantar pulang pelarian Rohingya. 

“Api marak” kelihatan pada lewat Isnin di perkampungan Tombru, yang terletak berhampiran sempadan daerah Cox’s Bazar, kata pegawai kanan pengawal sempadan kepada AFP yang enggan namanya disiarkan. 

Kebakaran itu berlaku pada lewat petang ketika Bangladesh bersedia untuk memulakan penghantaran pulang ratusan ribu pelarian Rohingya ke negeri Rakhine di bawah perjanjian dengan Myanmar. 

Proses penghantaran pulang itu bermula pada Selasa, namun ia ditangguhkan berikutan Bangladesh berkata kedua-dua pihak masih belum bersedia untuk tugas yang besar itu. 

Kebakaran yang berlaku di Rakhine itu dipercayai membabitkan rumah milik etnik Rohingya. Wilayah sempadan itu kini dikawal oleh tentera Myanmar, tambahnya. 

Seorang lagi pengawal sempadan memberitahu AFP, dia turut terdengar bunyi beberapa das tembakan sebelum api dilihat marak dari kampung berkenaan. 

Agak mustahil untuk mengesahkan apa yang berlaku berikutan kawasan berkenaan dikawal ketat oleh Myanmar. 

Pelarian Rohingya, Abul Naser, 42 tahun yang tinggal berhampiran sempadan itu berkata, dia melihat “api yang marak dan kepulan asap tebal”.

“Mereka cuba menyampaikan mesej kepada kami, mereka cuba menakutkan kami untuk tidak kembali semula,” katanya kepada AFP, merujuk kepada pasukan tentera Myanmar. 
 
Rakaman kebakaran berkenaan tersebar dalam kalangan pelarian Rohingya di Bangladesh melalui media sosial, yang mana ramai menyalahkan pasukan keselamatan Myanmar. 

“Kebakaran itu dicetuskan untuk menghapuskan saki baki kediaman etnik Rohingya agar kami tidak boleh kembali ke kampung semula,” kata aktivis daripada kumpulan minoriti itu, Rafique Habib kepada AFP. 

Katanya, tanpa kediaman, Rohingya yang kembali di bawah perjanjian kontroversi itu akan dinafikan akses ke tanah asal mereka dan dipaksa tinggal di kem penempatan. 

Pelarian Rohingya di Bangladesh yang mana kediaman mereka di musnahkan oleh tentera Myanmar dan pelampau Buddha ketika kempen keganasan disifatkan oleh PBB sebagai pembersihan etnik. 

Hampir 690,000 masyarakat Islam Rohingya melarikan diri dari Rakhine merentasi sempadan ke Bangladesh sejak Ogos tahun lalu berikutan kempen ketenteraan di Rakhine terhadap kaum minoriti Islam berkenaan. 

Kumpulan hak asasi manusia dan PBB berkata penghantaran pulang itu perlu dibuat secara sukarela. 

Kebanyakan pelarian menentang untuk kembali ke negeri mereka itu kerana bimbang peristiwa hitam yang dilalui mereka berulang. – AFP, 23 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen