TENTERA Israel berjaya menangkap semula dua banduan terakhir warga Palestin yang terlibat dalam kes lari dari penjara awal bulan ini, katanya pada Ahad.
Pada awal September, enam banduan Palestin melarikan diri dari Penjara Gilboa di utara Israel menerusi terowong yang digali di bawah sinki dalam sel penjara mereka, menggunakan pelbagai alat termasuk sudu.
Israel melancarkan operasi memburu besar-besaran, menggunakan dron, sekatan jalan raya dan mengerahkan tenteranya ke Tebing Barat.
Pihak berkuasa berjaya menahan semula empat banduan dan menerusi Twitternya pada Ahad, Tentera Israel berkata dua lagi banduan menyerah diri “selepas dikepung pasukan keselamatan yang bertindak atas maklumat perisikan.”
Dua lelaki berkenaan, Ayham Kamamji, 35, dan Munadel Infeiat, 26, adalah anggota Islamis Jihad, cabang bersenjata gerakan Islamis Palestin.
Mereka ditahan dalam operasi bersama tentera dan pasukan anti keganasan di Jenin, Tebing Barat, kata tentera dalam satu kenyataan media, menambah yang kedua-duanya “sedang disoal siasat”.
Kamamji ditahan pada 2016 dan dipenjara seumur hidup kerana menculik dan membunuh seorang warga Israel, Eliahu Asheri.
Islamis Jihad berkata Kamamji menderita sakit usus dan badan di penjara dan tidak mendapat rawatan perubatan sewajarnya oleh pihak berkuasa penjara.
Infeiat pula ditahan tahun lepas, pernah dipenjara beberapa kali sebelum ini kerana peranannya dalam kumpulan bersenjata dan sedang menunggu hukuman ketika melarikan diri.
Empat lagi lelaki yang berjaya ditahan semula minggu lepas termasuklah Mahmoud Abdullah Ardah, dalang kejadian itu, dan Zakaria Zubeidi, bekas ketua militan Fatah. – AFP, 19 September, 2021.
Komen