Orang tua, orang muda politik


BEBERAPA hari lepas sekumpulan bekas aktivis mahasiswa telah mengambil keputusan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (Keadilan). Saya menghormati pendirian rakan-rakan yang saya percaya ikhlas untuk membawa perubahan dalam dunia politik. 

Saya mengetahui hasrat mereka beberapa minggu sebelum pengumuman tersebut dilakukan. Kami ada berkomunikasi dan saling melontarkan pandangan tentang apa yang bakal dihadapi oleh kumpulan setelah mereka menyertai Keadilan. 

Saya pernah mengatakan perjuangan aktivisme mahasiswa merupakan perjuangan yang murni, mereka adalah kumpulan anak muda yang tidak memiliki kepentingan. 

Keadaan ini berbeza apabila anak muda menyertai parti politik, suka atau tidak – mereka perlu merebut kuasa. 

Jika ada anak muda yang masuk ke politik tetapi tidak mensasarkan kekuasaan (dalam jangan masa panjang atau pendek), adalah lebih baik mereka menyertai NGO atau apa-apa entiti non-politikal.

Politik seharusnya soal perubahan dasar-dasar yang akan membawa negara jadi lebih baik. Amat sukar untuk mengubah dasar-dasar yang ada sekiranya kita tak mempunyai kuasa. 

Saya percaya ada rakan-rakan saya pasti mendambakan untuk menjadi wakil rakyat, dan ia bukanlah sesuatu yang salah.

Saya tidak gemar untuk terperangkap dalam persoalan ‘muda vs tua’ memandangkan ia bukanlah persoalan yang sepatutnya kita fokuskan. Kumpulan muda dan tua perlu saling melengkapi untuk membina pasukan yang mantap. 

Namun, saya memahami mengapa ramai anak muda muak dengan keadaan politik yang didominasi warga emas.

Semangat kerjasama golongan tua dan muda ini harus diakui oleh kedua-dua kumpulan, jika hanya orang muda yang diminta untuk memberi laluan kepada warga emas untuk memimpin, maka lahirlah idea-idea yang lapuk – seperti yang kerap berlaku pada hari ini.

Saya kerap mengatakan kewujudan ramai warga emas sebagai wakil rakyat berlaku kerana hierarki dan struktural yang ada pada parti politik.

Di Malaysia, rakyat akan mengundi berdasarkan parti politik yang mereka percayai, kemudian barulah mereka akan melihat calon. 

Jika anak muda serius mahu mengurangkan warga emas sebagai wakil rakyat, harus dicari kaedah untuk memberi galakkan kepada parti politik untuk menghantar orang-orang muda bertanding. 

Cuma, umur yang muda sahaja tidak akan memberi jaminan seseorang itu tidak berperangai warga emas. 

Proses untuk menjadi wakil rakyat yang baik memerlukan pengalaman dan latihan. Sebab itulah dalam politik strategi amat penting, dan keperibadian seseorang adalah kunci utama untuk menjadi ahli politik yang baik. 

Untuk sampai ke tahap ini, orang muda harus yakin diri dan tidak perlu terlalu menghormati warga emas yang berada dalam arena politik.

Barangkali kerana budaya kita yang terlalu menghormati warga emas, sehingga takut mengkritik orang-orang tua yang dangkal. 

Saya kerap melihat ada anak muda yang terlalu ‘kagum’ dengan mana-mana tokoh warga emas yang dilihatnya, sehingga dia hilang keyakinan diri untuk mengkritik tokoh tersebut.

Jika kita melihat beberapa bulan ke belakang, kita dapat melihat betapa ramai warga emas politik yang sebenarnya dungu dalam berpolitik – terutamanya ketika mengeluarkan kenyataan. 

Ada juga di antara mereka yang sebenarnya bertuah kerana lahir sebagai anak fulan bin fulan yang merupakan ahli politik terkenal, sebab itulah mereka memiliki jalan mudah dalam politik.

Sudah tentu mereka yang mengikuti perkembangan politik semasa tahu akan kewujudan sekumpulan orang yang menggelarkan diri mereka ‘Muda’. 

Saya tidak pasti apa idea utama yang mereka bawa, namun yang paling menonjol adalah mereka mahu politik negara dipimpin oleh orang muda. 

Bagi saya mereka memiliki niat yang murni, walaupun saya mempunyai beberapa kritikan asas seperti penggunaan Bahasa Melayu yang kurang, kelihatan elit, ideologi politik yang kurang jelas, dan perancangan jangka panjang selepas gagal didaftarkan masih kabur. 

Apa yang pasti, walaupun mereka menggelarkan diri mereka Muda – kita tidak boleh beranggapan mereka adalah wakil untuk semua orang muda di Malaysia. Seperti organisasi orang muda yang lain, mereka mewakili sebilangan kecil anak muda.

Untuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang menjadi sayap muda kepada PKR, mereka harus menggunakan peluang dengan kemasukan beberapa bekas aktivis mahasiswa ini. 

Kumpulan ini tidak boleh dijadikan pengampu atau macai semata-mata. Mereka perlu diberi ruang untuk lebih berfungsi dan berbakti kepada parti, seterusnya rakyat Malaysia. 

Kerap terjadi anak-anak muda yang berbakat menyertai parti politik, tapi akhirnya bakat yang ada hanya menjadi sia-sia kerana gagal digunakan sepenuhnya oleh parti. – 19 September, 2021.

* Rahman Imuda, pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen