324 lagi korban Covid-19 semalam


Ravin Palanisamy

Jumlah korban Covid-19 di Malaysia kini berjumlah 23,067 orang sejak pandemik bermula tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2021.

JUMLAH keseluruhan kematian angkara Covid-19 di negara ini naik kepada 23,067 selepas 324 lagi kematian dilaporkan setakat tengah malam semalam, kata Kementerian Kesihatan.

KKM bagaimanapun mendedahkan hanya tujuh kematian berlaku semalam (18 September), sementara kematian lain adalah kes yang belum dilaporkan sebelum ini.

Menurut laman web KKM, Covidnow, 70 daripada 324 kes adalah kes kematian dibawa ke hospital (BID).

317 lagi kes kematian tunggakan semalam pula adalah berdasarkan kiraan tarikh tertangguh terutama sekali jika punca kematian tidak dapat disahkan ketika hari kematian.  

Menurut kementerian, kes kematian tertunggak yang lambat dilaporkan adalah disebabkan beban kerja petugas kesihatan sejak beberapa bulan lalu yang menyebabkan wujud kelewatan dalam penyiasatan dan pelaporan kes kematian.

Jumlah kematian harian boleh berbeza dengan jumlah kes kematian sebenar yang berlaku pada hari itu kerana ia melibatkan kes tertunggak. 

Di laman web Covidnow, KKM menggunakan dua petunjuk untuk melaporkan kematian Covid-19, jumlah kes kematian harian termasuk kes tertunggak dan jumlah kematian purata tujuh hari.

Pecahan tarikh kematian sebenar boleh didapati di pangkalan data terbuka KKM, GitHub.

Dengan jumlah kematian terkini itu, purata kematian tujuh hari Covid-19 semalam adalah 109 kes.

Daripada jumlah kematian semalam, Selangor melaporkan 146 kes, Johor (54) dan Pulau Pinang (25).

24 kes kematian dilaporkan di Kedah, Perak (15), Sabah (13), Kelantan (12), Sarawak (11), Kuala Lumpur dan Melaka dengan 7 kematian setiap satu, Negeri Sembilan dan Pahang pula masing-masing dengan 5 kematian.

Manakala, tiada kematian Covid-19 dilaporkan berlaku di Perlis, Terengganu, Labuan dan Putrajaya setakat 11.59 malam tadi.

Menggunakan kaedah pengiraan baharu berdasarkan purata tujuh hari, kes kematian kerana Covid-19 jatuh mendadak di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Terengganu, Labuan, Putrajaya, Selangor, dan Kuala Lumpur.

Semalam, Malaysia melaporkan 15,549 kes harian baharu. Manakala 17,205 lagi kes diisytihar pulih, menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 di seluruh negara kini berjumlah 219,359 kes. – 19 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen