EMPAT orang pelancong SpaceX mendarat di Lautan Atlantik di pesisir pantai Florida petang semalam selepas menghabiskan masa tiga hari di angkasa, sekaligus menandakan kejayaan misi pertama pusing orbit dalam sejarah tanpa penglibatan angkasawan profesional.
Perisai haba kapsul SpaceX Dragon membolehkan pendaratan berlaku, sebelum ia diperlahankan dengan empat paying terjun sebelum terjunam ke laut selepas jam 7 petang, menurut lintas langsung video disiarkan syarikat itu.
Bot SpaceX serta merta digerakkan ke kapsul itu sebelum pintu boleh dibuka dan membawa keluar angkasawan. Mereka akan dipindahkan menggunakan helikopter ke Pusat Angkasa Kennedy, tempat mereka berlepas pada Rabu lalu menggunakan roket Falcon 9.
“Ini adalah perjalanan bermakna kepada kita semua, dan kita baru bermula,” kata kapten Jared Isaacman yang juga hartawan membiayai perjalanan itu.
Objektif utama misi, dikenali sebagai Inspiration4, adalah untuk menggalakkan pendemokrasian angkasa dengan menyediakan kapal kepada angkasawan yang tidak melalui saringan ketat atau menjalani latihan bertahun-tahun.
Isaacman, yang membayar jutaan dolar kepada SpaceX menawarkan tempat dalam kapal itu kepada tiga orang awam: Hayley Arceneaux, jururawat berusia 29 tahun; Sian Proctor, profesor berusia 51 tahun dan Chris Sembroski, veteran Tentera Udara AS berusia 42 tahun.
Kapsul Dragon bergerak melepasi Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada orbit setinggi 575km dan mengelilingi Bumi lebih 15 kali sehari.
Pendaratan itu adalah kali ketiga dibuat syarikat milik Elon Musk yang membawa manusia ke angkasa, selepas dua misi Nasa yang pertama pada Ogos 2020 dan kedua pada Mei lalu. Kedua-duanya membawa angkasawan yang akan bertugas di ISS.
Tidak seperti angkasawan Nasa, ahli misi Inspiration4 tidak pergi ke ISS sebaliknya kekal berada di orbit mengelilingi Bumi.
Sepanjang penerbangan itu, tahap kesihatan anak kapal dipantau untuk mengkaji kesan persekitaran angkasa lepas kepada anak kapal baharu yang tidak terlatih. – AFP, 19 September, 2021.
Komen