AS tingkat pengusiran ribuan pendatang di jambatan Texas


Ribuan pentdangan membanjiri jambatan Texas dan menyeberangi sungai bagi memasuki Amerika Syarikat. – Gambar EPA, 19 September, 2021.

AMERIKA Syarikat semalam berkata akan meningkatkan pengusiran ribuan pendatang yang membanjiri bandar Del Rio di sempadan Texas, ketika pihak berkuasa berusaha menangani krisis yang semakin meningkat bagi pemerintahan Presiden Joe Biden.

Pendatang yang kebanyakannya dari Haiti ditahan di Jambatan Antarabangsa Del Rio yang menghubungkan dengan Mexico dan dikawal oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP).

Rakaman video menunjukkan beribu-ribu orang berada di bawah dan di sekitar jambatan selain ada yang berjalan menyeberangi sungai sambil membawa barangan mereka.

Datuk Bandar Del Rio, Bruno Lozano memberitahu wartawan terdapat lebih 14,000 pendatang yang “menunggu untuk ditahan”. 

Beliau menambah, pihak berkuasa tempatan dan persekutuan menghantar kakitangan, bas dan kapal terbang sebagai sebahagian dari operasi.

Pelabuhan masuk di Del Rio ditutup sementara dan lalu lintas dialihkan bagi meredakan kesesakan jalan raya di sekitar jambatan.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) dalam kenyataannya berkata, pihaknya menyediakan pengangkutan tambahan dan meningkatkan kapasiti penerbangan pengusiran ke Haiti dan destinasi lain dalam tempoh 72 jam.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa pentadbiran Biden sedang mengambil tindakan “mengurangkan kesesakan dan meningkatkan penyelesaian isu pendatang” di AS serta bekerjasama dengan negara asal dan transit di rantau ini.

CBP sudah menghantar 400 anggota tamabahan bagi meningkatkan kawalan di wilayah itu.

Pihak berkuasa sempadan sesak dengan kedatangan migran yang melintasi dari Mexico yang meminta untuk memasuki AS selain kemasukan pendatang dari Afghanistan selepas pengambilalihan Taliban dari negara ini.

Tekanan politik meningkat buat Biden terutama dalam menyelesaikan isu pendatang selain Parti Republikan dan rakannya dari Demokrat menggesa tindakan segera dilaukan.

Kerajaan AS mengusir lebih 200,000 pendatang di sempadannya pada Julai dan Ogos, iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh lebih sedekad. – AFP, 19 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen