Kumpulan IS mengaku letupkan saluran paip gas Syria


Warga Syria di kawasan-kawasan yang dipegang pemerintah terpaksa menyesuaikan hidup mereka di rumah dan bekerja dengan bekalan elektrik dipotong sehingga 20 jam sehari. – Gambar EPA, 19 September, 2021.

KUMPULAN IS semalam mendakwa melakukan serangan ke atas saluran paip gas asli di tenggara ibu kota Syria yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di bandar dan sekitarnya.

Pejuang IS meletakkan dan meledakkan bahan letupan di saluran paip gas yang menyalurkan gas ke kilang Tishreen dan Deir Ali, kata kumpulan berkenaan dalam satu kenyataan.

Stesen Deir Ali di tenggara Damsyik menjana separuh dari keperluan elektrik Syria, kata Menteri Elektrik Ghassan al-Zamel semalam dalam komen yang dikeluarkan oleh agensi berita rasmi SANA.

Beliau berkata, serangan di saluran paip gas pada Jumaat malam dengan alat letupan menyebabkan stesen itu tidak dapat berfungsi sementara waktu.

Serangan itu turut mempengaruhi beberapa stesen lain yang menyebabkan bekalan elektrik terputus di Damsyik, pinggiran dan kawasan lain, kata Zamel, sebelum bekal disambung semula kira-kira 30 minit kemudian.

Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan dimulakan semalam tetapi memberi amaran mengenai catuan teruk sehingga saluran paip dibaiki dan loji jana kuasa beroperasi semula seperti biasa.

Kilang Deir Ali dan Tishreen tetap tidak berfungsi.

Infrastruktur gas dan minyak Syria menjadi sasaran kumpulan militan dan pemberontak yang menentang rejim Presiden Bashar al-Assad.

Konflik Syria sejak 2011 merosakkan rangkaian elektrik dan infrastruktur minyak serta gas di seluruh negara.

Ladang minyak terbesar Syria masih di luar jangkauan pemerintah di timur laut negara Kurdi, dan sekatan Barat menghalang import bahan bakar dari luar negara.

Warga Syria di kawasan-kawasan yang dipegang pemerintah terpaksa menyesuaikan hidup mereka di rumah dan bekerja dengan bekalan elektrik dipotong sehingga 20 jam sehari. – AFP, 19 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen