Wanita rugi RM395,200 terpedaya lelaki 'London'


TERPEDAYA dengan jerat cinta lelaki dipercayai dari London dikenali menerusi media sosial, seorang wanita berputih mata apabila menjadi mangsa penipuan serta mengalami kerugian sebanyak RM395,200.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata wanita berusia 23 tahun yang juga seorang peniaga dan baru kematian suami membuat laporan polis pada 17 September lalu selepas menyedari ditipu individu terbabit.

Beliau berkata, mangsa mengenali individu berkenaan menerusi laman Instagram yang menggunakan nama ‘Chongwei4580’ sejak April lalu dan berhubung menerusi aplikasi WhatsApp sepanjang perkenalan hingga jatuh cinta.

Menurutnya, bagaimanapun individu itu menghubungi mangsa pada 10 September lalu kerana kononnya bersimpati dengan nasib mangsa yang kematian suami serta ingin mengirimkan barangan mengandungi wang tunai sebanyak AS$950,000 (RM3.96 juta) kepada mangsa.

“Tiga hari kemudian mangsa menerima e-mel daripada syarikat penghantaran yang meminta mangsa menjelaskan bayaran sebanyak RM6,200 untuk melepaskan barangan itu daripada kastam.

“Bagaimanapun, individu itu mengugut mangsa untuk membuat bayaran dan bayaran lain yang diarahkannya dan sekiranya enggan berbuat demikian, mangsa akan ditangkap kerana bersubahat dalam aktiviti pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayob Khan berkata, disebabkan ketakutan, mangsa mengikuti segala arahan itu dan membuat sebanyak 24 transaksi pembayaran dalam tempoh 3 hari bermula 13 September secara dalam talian, ke 11 akaun berbeza dengan jumlah sebanyak RM395,200.

“Hingga kini mangsa tidak menerima sebarang kiriman yang dijanjikan dan menyedari dia ditipu,” katanya.

Ayob Khan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan dan denda.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka terhadap trend jenayah ketika ini terutama membabitkan transaksi, pelaburan dan perkenalan dalam talian menerusi media sosial.

“Gunakan aplikasi semakan dalam talian yang diperkenalkan pihak berkuasa seperti ‘Semak Mule’ sebelum melakukan sesuatu transaksi kewangan,” katanya. – Bernama, 18 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen