Satu kes baharu Covid-19 dikesan babit pelancong ke Langkawi, kata KP kesihatan


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan berkata satu-satunya kes itu dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 dan individu tersebut berada dalam kategori 1. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2021.

SEORANG pengembara yang ingin bercuti ke Langkawi didapati positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan sebelum berlepas, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata satu-satunya kes itu dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan dimasukkan dalam kategori 1, tidak bergejala

“Satu individu positif Covid-19 telah dikenalpasti melalui ujian RTK-Ag di KLIA 2. Kes positif ini didapati berada dalam kategori 1 dan telah diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk menjalani kuarantin di rumah selama tempoh 10 hari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 2,507 individu telah disaring melalui Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi setakat tengah hari ini.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 2,326 individu telah menjalani saringan di lapangan terbang manakala 181 lagi individu telah disaring di Jeti Kuala Perlis,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, seramai 2,481 individu telah menjalani ujian Covid-19 iaitu 2,468 RTK-Ag dan 13 RT-PCR. 

“Manakala 26 individu lagi adalah kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah yang dikecualikan menjalani ujian Covid-19,” katanya.

Ujian saringan terhadap pengembara itu dibuat sebagai sebahagian daripada Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi yang bermula pada 16 September lalu. 

Kementerian Kesihatan setakat ini mengesan 10 kes di bawah projek ini, di mana lima daripadanya dikesan pada hari pertama, empat semalam dan satu pada hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kejayaan projek ini sangat penting dalam menentukan arah pembukaan destinasi pelancongan domestik seterusnya.

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata pihaknya mensasarkan sekitar 200,000 pelancong domestik ke Langkawi antara bulan ini dan Disember.

Menterinya Nancy Shukri berkata sekitar 30,000 pelancong dijangka mengunjungi pulau peranginan tersebut bulan ini setelah dibuka semula di bawah projek rintis gelembung pelancongan. – 18 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen