Kes sembuh Covid-19 atasi jangkitan baharu, kata KP kesihatan


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 888 pesakit disahkan positif Covid-19 daripada 1,165 yang dimasukkan ke ICU hari ini, manakala selebihnya 277 adalah kes yang disyaki dan sedang disiasat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2021.

JUMLAH kes sembuh melebihi jumlah jangkitan baharu buat dua hari berturut-turut sekali gus memberi kesan langsung kepada penurunan kes di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk pesakit yang memerlukan oksigen.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 888 pesakit disahkan positif Covid-19 daripada 1,165 yang dimasukkan ke ICU hari ini.

Selebihnya, 277 adalah kes yang disyaki dan sedang disiasat.

Dr Noor Hisham berkata, 689 pesakit memerlukan ventilator, di mana 401 daripadanya disahkan kes Covid-19 sementara 288 kes lagi disyaki, dan sedang disiasat.

Semalam, jumlah di ICU dan yang memerlukan ventilator masing-masing dilaporkan sebanyak 1,223 dan 720.

Sementara itu, hari ini negara melaporkan 17,205 kes sembuh berbanding 15,549 jangkitan baharu.

Dr Noor Hisham berkata 98.31% atau 15,286 kes yang dilaporkan hari ini berada dalam Kategori 1 (tiada gejala) dan Kategori 2 (gejala ringan).

Hanya 263 atau 1.69% kes yang dilaporkan berada pada tahap jangkitan yang lebih serius, iaitu dalam Kategori 3, 4 dan 5.

Selain itu, Kementerian Kesihatan mengesan 16 kluster baharu Covid-19 setakat tengah hari ini, yang menyumbang sebanyak 399 kes.

Dr Noor Hisham berkata, 10 kluster itu berkait tempat kerja (204 kes), empat jangkitan komuniti (164 kes) dan dua kluster berisiko tinggi (31 kes).

Empat kluster dikesan di Johor; masing-masing dua di Selangor, Sarawak, Perak dan Kelantan; dan masing-masing satu kluster di Labuan, Pulau Pinang, Sabah dan Pahang.

16 kluster baharu yang dikesan hari ini menjadikan jumlah kluster ditanggung negara kini sebanyak 5,263, di mana 1,364 masih aktif dan 3,899 telah tamat. – 18 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen