BEBERAPA anggota polis cedera manakala beratus-ratus penunjuk perasaan ditangkap di Melbourne, Australia pada Sabtu dalam protes antisekatan.
Para anggota menyembur pemedih mata dan menangkap lebih 200 orang ketika beberapa ratus orang melanggar arahan duduk di rumah dan berarak di bandar raya kedua terpadat di negara itu.
Perhimpunan haram itu berlaku ketika bandar tersebut dikenakan sekatan pergerakan keenam sejak pandemik Covid-19 melanda, dengan wilayah Victoria melaporkan lebih 500 kes Covid-19 pada Sabtu.
Polis berkata enam anggota dibawa ke hospital setelah mereka dibaling dengan beberapa objek dan diinjak-injak dalam pertempuran dengan hampir 700 orang.
“Apa yang kita lihat hari ini adalah sekumpulan penunjuk perasaan yang berkumpul, bukan untuk memprotes kebebasan, tetapi untuk berperang dengan polis,” kata Ketua Polis Victoria Mark Galliott kepada media.
Polis berusaha mengurangkan akses ke pusat bandar dengan menyekat jalan dan menghentikan pengangkutan awam bagi mengelakkan lagi adegan ganas yang menarik ribuan orang bulan lalu.
Bagaimanapun para penunjuk perasaan kemudian berpindah, dengan rakaman dari satu kejadian menunjukkan orang ramai menyerang barisan polis ketika pergaduhan meletus di sepanjang laluan trem.
Sebahagian besar polis berjaya menghalang perhimpunan serupa di Sydney, dengan para anggota mengerumuni sebuah taman di mana tunjuk perasaan itu bakal berlangsung.
Polis New South Wales berkata mereka menangkap sekitar 20 orang, terutama di seluruh rangkaian pengangkutan awam, sementara beberapa yang lain ditangkap dalam perhimpunan yang lebih kecil di seluruh negeri.
Kedua-dua bandar ini dikenakan sekatan pergerakan yang lama kerana pihak berkuasa menumpukan pada vaksinasi ketika kes di negara itu makin meruncing.
Australia berjaya mengejar “sifar Covid” hampir sepanjang pandemik, terutama disebabkan oleh sempadan antarabangsa yang ditutup dan sekatan pergerakan.
Namun kemunculan varian Delta menyebabkan dua bandar terbesarnya kembali di bawah arahan duduk di rumah awal tahun ini, dan pihak berkuasa kini menyasarkan kadar vaksinasi 70 peratus sebelum meredakan sekatan pergerakan. – AFP, 18 September, 2021.
Komen