TENTERA Nigeria berjaya menyelamatkan seorang pegawai tentera yang diculik dari sebuah akademi ketenteraan elit bulan lalu di kawasan barat laut negara itu, kata tentera pada Jumaat.
Pada 24 Ogos, sebuah kumpulan bersenjata menyerang Akademi Pertahanan Nigeria (NDA), akademi tentera yang dikawal ketat di Kaduna, membunuh dua pegawai dan menculik yang lain, dalam serangan berani yang mengejutkan pihak berkuasa.
Barat laut dan tengah Nigeria sering diganggu kumpulan penjenayah yang dikenali warga tempatan sebagai penyamun yang menyerang kampung, menculik dan membunuh penduduk, mencuri lembu dan membakar rumah setelah menjarah mereka.
Penyamun meningkatkan serangan dengan menyasarkan sekolah dalam penculikan besar-besaran pelajar sekolah untuk meminta wang tebusan daripada ibu bapa dan pihak berkuasa.
Serangan terhadap NDA, yang melatih pegawai tentera negara itu dan dari negara-negara Afrika lain, dilihat terlampau berani walaupun serangan ke atas pangkalan oleh jihadis adalah perkara biasa.
Pada Jumaat, askar menyerang sebuah kem di mana pegawai yang diculik ditahan di kawasan Afaka tidak jauh dari akademi tentera, kata tentera dalam satu kenyataan.
Penyamun menyerang balas tentera dalam pertempuran dan “dalam proses itu, pasukan tentera berjaya menyelamatkan pegawai yang diculik,” katanya.
“Bagaimanapun, pegawai tersebut mengalami cedera ringan namun telah dirawat di sebuah kemudahan perubatan dan diserahkan kepada NDA untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tentera berkata beberapa kem penyamun musnah dan “beberapa penyamun” terbunuh dalam operasi itu. – AFP, 18 September, 2021.
Komen