15,549 kes baharu Covid-19, terendah sejak 26 Julai


Ravin Palanisamy

Kes harian hari ini yang terendah sejak Julai lalu dan 80% populasi dewasa Malaysia dijangka lengkap divaksin pada Isnin ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2021.

KES harian Covid-19 Malaysia jatuh ke tahap terendah sejak hampir dua bulan apabila 15,549 kes baharu dilaporkan setakat tengahari tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kali terakhir Malaysia melaporkan kes lebih rendah berbanding hari ini adalah pada 26 Julai lalu dengan 14,516 kes.

Dr Noor Hisham berkata data hari ini menjadikan jumlah kes terkumpul Covid-19 Malaysia kini mencecah 2,082,876 kes.

Sarawak terus menjadi negeri dengan kes tertinggi buat hari ketiga berturut-turut dengan 2,929 kes.

Johor pula di tempat kedua dengan 2,208 kes dan Selangor melaporkan 1,995 kes hari ini.

Kawasan Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur (382) dan Putrajaya (31) menyumbang 2,408 kes atau 15.5% daripada jumlah keseluruhan kes baharu hari ini.

Negeri lain yang melaporkan kes baharu hari ini ialah Sabah (1,395), Pulau Pinang (1,375), Kelantan (1,214), Perak (1,120), Kedah (1,073), Terengganu (755), Pahang (634), Melaka (263), Negeri Sembilan (131), Perlis (33) dan Labuan (11). 

Berdasarkan pecahan jumlah kes keseluruhan mengikut negeri, Selangor masih berada di tangga teratas dengan 656,281 kes, diikuti Sabah (184,221) dan Kuala Lumpur (182,481).

Sementara itu, Kementerian Kesihatan pagi tadi berkata yang tahap vaksinasi negara akan mencapai matlamat 80% populasi dewasa lengkap divaksin pada Isnin ini, sebulan lebih awal berbanding jadual.

Setakat ini 18.13 juta atau 77.5% populasi dewasa negara sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Menurut data dikeluarkan KKM di laman web Covidnow, sebanyak 238,002 dos vaksin diberikan semalam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan 75,986 orang menerima suntikan pertama dan 162,016 mendapat suntikan kedua.

Ia menjadikan jumlah dos vaksin diberikan di bawah program ini kepada 39,923,416. – 18 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen