GEMPA bumi berukuran 8.2 magnitud melanda selatan perairan Alaska pada awal Selasa, mencetuskan amaran tsunami.
Gempa berkenaan melanda pada 0931 GMT di Teluk Alaska, 280 kilometer dari tenggara pekan Kodiak, menurut Jabatan Geologi AS. Pusat gempa terletak 10 kilometer di bawah dasar laut.
Amaran tsunami dikeluarkan kepada Alaska dan pantai barat Kanada, kata Pusat Amaran Tsunami Nasional.
Amaran berjaga-jaga turut dikeluarkan bagi pantai barat Amerika Syarikat - seluruh pantai California dan Oregon dan sebahagian daripada Washington.
Di Alaska, pihak berkuasa menggesa penduduk yang tinggal di pesisir pantai agar mencari tempat perlindungan.
“Sekiranya kamu berada di kawasan pesisir pantai, pindah ke kawasan pedalaman di tanah yang lebih tinggi,” kata Pejabat Pengurusan Kecemasan Anchorage.
“Amaran tsunami bermaksud tsunami berkemungkinan besar berlaku atau sudah berlaku. Tsunami merupakan ombak besar berbahaya yang berlaku beberapa jam sebelum ia tiba di lokasi yang dijangka. Gelombang pertama mungkin bukan yang paling besar.” – AFP, 23 Januari, 2018.
Komen