DATUK Bandar Del Rio di Texas mengisytiharkan darurat pada Jumaat setelah lebih 10,000 pendatang tanpa dokumen, kebanyakan mereka warga Haiti, masuk ke bandar sempadan itu dalam ujian terbaharu dasar imigresen Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden.
Datuk Bandar Del Rio, Bruno Lozano berkata para pendatang dihimpunkan di kawasan yang dikendalikan oleh Kastam dan Kawalan Sempadan (CBP) AS di bawah Jambatan Antarabangsa Del Rio, yang menyeberangi sungai Rio Grande, Texas dengan Acuña, Mexico.
Rakaman video menunjukkan ribuan orang di bawah dan sekitar jambatan tersebut.
Ramai warga Haiti berharap dapat menetap di AS memandangkan negara mereka terkesan teruk akibat gempa besar dan pergolakan politik berterusan, kata Lozano.
Ratusan pendatang terus masuk ke Del Rio pada Jumaat, menambah jumlah disebut Lozano sebanyak 10,503 yang berada di bawah jambatan pada Khamis.
Kesemua mereka sedang menunggu proses, dan berharap diberi peluang menetap di AS, oleh CBP, yang telah dibanjiri pendatang yang melintasi sempadan Mexico serta puluhan ribu pelarian dari Afghanistan.
“Pasukan pengawal sempadan sekarang sangat terkejut dengan kemasukan migran di Del Rio,” kata Lozano. – AFP, 18 September, 2021.
Komen