Perancis panggil balik duta di AS, Australia


Menteri Luar Jean-Yves Le Drian pada Jumaat mengumumkan duta negara itu ke AS dan Australia dipanggil balik, tindakan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah. – Gambar AFP, 18 September, 2021.

PERANCIS memanggil balik dutanya ke AS dan Australia untuk perundingan, kata Menteri Luar Jean-Yves Le Drian pada Jumaat, selepas Canberaa memilih membeli kapal selam AS berbanding Perancis.

Le Drian dalam kenyataan berkata keputusan memanggil balik dua orang duta Perancis itu dibuat serta merta disebabkan “keseriusan pengumuman dibuat pada 15 September oleh Australia dan Amerika Syarikat”.

Presiden AS Joe Biden mengumuman pakatan pertahanan terbaru antara Australia-AS-Britain pada Rabu, memperluas pemindahan teknologi kapal selama nuklear, pertahanan siber, kecerdasan buatan dan keupayaan bawah laut kepada Australia.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan Perancis yang hilang kontrak membekalkan kapal selam konvensional kepada Australia bernilai Aus$50 bilion (AS$36.5 bilion) yang ditandatangani pada 2016.

Tindakan Perancis memanggil balik dutanya di AS dan Australia, sekutu utama Perancis tidak pernah berlaku dalam sejarah.

Perancis pada Khamis menuduh Australia mengkhiantinya dan Washington berperangai seperti era Donald Trump dalam isu itu.

“Ia memang tikam belakang,” kata Le Drian pada Khamis. “Kami sudah menjalinkan hubungan (berasaskan) kepercayaan dengan Australia, kepercayaan itu sudah dikhianati”.

Perancis juga membatalkan acara gala di rumah duta di Washington dijadualkan pada Jumaat.

Acara itu sepatutnya meraikan ulang tahun pertempuran laut ketika Revolusi Amerika, peristiwa yang mana Perancis memainkan peranan utama. – AFP, 18 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen