KOMANDER tentera Amerika Syarikat (AS) mengakui melakukan “kesilapan” ketika melancarkan serangan dron terhadap suspek militan Isis di Kabul, yang membunuh 10 orang awam termasuk kanak-kanak, beberapa hari terakhir sebelum keluar dari Afghanistan bulan lalu.
Serangan itu bertujuan mensasarkan operasi Isis yang disyaki perisik AS ingin menyerang lapangan terbang Kabul, kata Kenneth McKenzie.
“Serangan itu adalah kesilapan yang tragis,” kata McKenzie kepada wartawan selepas siasatan.
Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin meminta maaf kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam satu kenyataan.
“Saya mengucapkan takziah kepada anggota keluarga mereka yang terbunuh,” kata Austin dalam satu kenyataan.
“Kami meminta maaf, dan akan cuba belajar daripada kesilapan teruk ini,” katanya.
McKenzie berkata kerajaan sedang mengkaji bagaimana pembayaran ganti rugi dapat dilakukan kepada keluarga yang terbunuh.
Jeneral itu berkata pada 29 Ogos pasukan AS mengesan Toyota berwarna putih selama lapan jam selepas melihatnya di sebuah lokasi di Kabul yang perisik kenal pasti sebagai lokasi dari pasukan Isis dipercayai sedang membuat serangan terhadap lapangan terbang Kabul.
Laporan risikan itu mendorong pasukan AS mengawasi Toyota Corolla berwarna putih yang didakwa digunakan oleh kumpulan itu, katanya.
“Kami memilih kereta itu berdasarkan pergerakannya di kawasan sasaran yang diketahui menjadi perhatian kami,” kata McKenzie.
“Jelas risikan kami salah berhubung Toyota putih itu,” katanya.
Serangan dron itu membunuh 10 orang, termasuk tujuh kanak-kanak, menurut McKenzie, yang seorang pun tiada kaitan dengan Isis.
McKenzie mempertahankan operasi AS sebagai “serangan pertahanan diri” ketika kebimbangan mengenai serangan di lapangan terbang pada hari-hari terakhir pemindahan mereka.
Pada 26 Ogos seorang pengebom bunuh diri Isis-Khorasan membunuh sejumlah besar di lapangan terbang, termasuk 13 anggota perkhidmatan AS.
“Terdapat lebih dari 60 vektor ancaman yang jelas yang kami hadapi ketika ini,” kata McKenzie.
Pegawai AS percaya kereta itu dipenuhi bahan letupan. The New York Times melaporkan bahawa ia dipenuhi dengan tabung air.
McKenzie berkata tiada orang awam dilihat di kawasan itu ketika serangan dibenarkan.
Seorang yang terbunuh adalah rakyat Afghanistan yang bekerja untuk kumpulan bantuan AS, Ezmarai Ahmadi.
“Kami sekarang tahu tiada hubungan antara Ahmadi dan Isis-Khorasan,” kata Austin. – AFP, 18 September, 2021.
Komen