Pemalsu kupon sebabkan kerugian AS$31 juta dipenjara 12 tahun


SEORANG wanita warga Amerika yang melakukan pemalsuan kupon pembelian runcit sehingga menyebabkan beberapa buah syarikat mengalami kerugian sehingga AS$31 juta dijatuhi hukuman penjara 12 tahun minggu ini, kata pegawai pada Jumaat.

Lori Ann Talens, 41, dan suaminya yang juga didakwa kerana jenayah itu, Pacifico Talens, “membangunkan skim penipuan kupon yang mungkin antara terbesar pernah berlaku dalam sejarah,” kata pendakwaraya dalam kertas pertuduhan.

Menggunakan media sosial dan pengalamannya dalam peruncitan, kemahiran wanita itu diakui cukup cemerlang sehingga “kupon yang dibuatnya sukar dibezakan dengan kupon asli sehingga pakar pemalsuan kupon dipanggil untuk mengesahkan ia kupon palsu,” kata pendakwaraya.

Di rumahnya, beliau mencipta kupon “Frankenstein”, dengan menggabungkan imej, logo syarikat dan kod bar tulen di komputernya.

“Satu-satunya perkara dicurigai” adalah jumlah diskaun diberikan, sama atau lebih besar berbanding nilai sebenar produk, menurut dokumen mahkamah.

Sejak 2017 hingga 2020, menggunakan nama samara “Masterchef”, dia mempunyai lebih 2,000 pelanggan dalam talian dan menjual kupon promosi palsu di seluruh AS, meraih hampir AS$400,000.

Tetapi kerugian ditanggung syarikat dijangka mencecah AS$31 juta.

Suaminya yang bertanggungjawab mengepos kupon itu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga bulan.

Kupon pembelian runcit sangat popular di AS yang mencetuskan budaya popular seperti laman web, komuniti peminat dan rancangan reality TV pada 2011. – AFP, 18 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen