LEGENDA bola sepak Brazil Pele, 80, dimasukkan sementara ke unit rawatan rapi pada Jumaat selepas mengalami kesukaran bernafas, kata Hospital Albert Einstein di Sao Paulo, tempat di mana beliau menjalani pembedahan awal bulan ini.
“Dalam usaha pencegahan, Pele dipindahkan ke unit rawatan rapi. Selepas distabilkan, pesakit dipindahkn ke unit separa rawatan rapi,” kata hospital itu dalam satu kenyataan.
“Dari segi kardiovaskular dan pernafasan, beliau kini stabil,” tambahnya.
Tidak lama selepas itu, bekas bintang bola sepak itu memuat naik mesej di media sosial menyatakan: “Kawan-kawan, saya beransur sihat. Hari ini saya menerima lawatan daripada keluarga dan saya masih tersenyum setiap hari.”
Pada 6 September lepas, hospital berkata Pele menjalani pembedahan yang dipercayai kerana ketumbuhan di usus.
Beliau pada mulanya keluar dari ICU pada Selasa, memberitahu peminatnya di media sosial yang beliau gembira dan tidak sabar bertemu mereka.
Ketumbuhan itu dipercayai dikesan ketika pemeriksaan kesihatan rutin, menurut hospital tempat Pele dirawat sejak 31 Ogos lalu.
Dianggap dunia sebagai antara pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman, Pele, atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento, sering jatuh sakit sejak beberapa tahun lalu dan beberapa kali dimasukkan ke hospital.
Satu-satunya pemain dalam sejarah sukan menang tiga Piala Dunia (1958, 1962 dan 1970), Pele meledak di pentas antarabangsa ketika berusia 17 tahun dengan jaringan gol kemenangan termasuk dua gol pada pertandingan akhir melawan Sweden ketika Brazil menang Piala Dunia buat kali pertama pada 1958.
Empat tahun selepas itu, Pele sekali lagi membuktikan kejaguhannya apabila menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Mexico yang membolehkan Brazil menang 2-0.
“O Rei” (Raja) kemudiannya membuktikan beliau pemain bola sepak antara paling berbisa dalam sejarah sukan itu dengan menjaringkan lebih 1,000 gol sebelum bersara pada 1977. – AFP, 18 September, 2021.
Komen