KKM lapor 9 kematian Covid-19 semalam, 379 kes tunggakan


Ravin Palanisamy

Sembilan kematian dicatatkan semalam, sementara selebihnya adalah kes tunggakan yang sebelum ini tidak dilaporkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2021.

MALAYSIA melaporkan 388 kematian berkaitan Covid-19 pada tengah malam tadi, menjadikan jumlah kematian di negara ini kepada 22,743, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut data yang diterbitkan oleh kementerian di laman web Covidnow, sembilan kematian dicatatkan pada tarikh 17 September, sementara selebihnya adalah kes tunggakan yang sebelum ini tidak dilaporkan.

Sementara itu, 379 kes tertunggak tidak diberi tarikh dan akan dikesan mengikut tarikh mangsa meninggal dunia.

KKM berkata laporan tertunggak itu disebabkan oleh barisan hadapan kesihatan yang dibebani tugas dalam beberapa bulan terakhir, menyebabkan kelewatan dalam siasatan dan laporan kematian.

Angka kematian harian mungkin berbeza daripada jumlah kematian sebenar yang berlaku dalam sehari, kata kementerian itu.

Bagi memudahkan pemahaman, kementerian kini menggunakan tiga petunjuk untuk melaporkan kematian Covid-19 di laman web mereka iaitu jumlah kematian dilaporkan setiap hari termasuk kes tunggakan, kematian yang berlaku pada hari itu dan jumlah kematian dalam purata tujuh hari.

Purata tujuh hari untuk kematian koronavirus semalam adalah 108.

Daripada kematian yang dilaporkan malam tadi, Selangor menyumbang 167 daripadanya, diikuti oleh Johor (76) dan Kedah (48).

Pulau Pinang mencatat 24 kematian, Sabah (22), Pahang dan Kuala Lumpur (masing-masing 12), Kelantan (10), Perak (7), Terengganu (5), Perlis dan Sarawak (masing-masing 2), dan Negeri Sembilan (1).

Tiada kematian berkaitan dengan koronavirus dilaporkan di Melaka, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, 64 mangsa dilaporkan meninggal dunia di luar hospital.

Menggunakan kaedah pengiraan purata tujuh hari, kematian menurun dengan ketara di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Sarawak, Selangor, dan Kuala Lumpur.

Malaysia melaporkan 22,970 kes yang pulih berbanding 17,577 kes baharu Covid-19, menyaksikan pengurangan jumlah kes aktif di negara ini kepada 221,339. – 18 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen