Gempa bumi landa Sukabumi, Indonesia 


Pekerja di Jakarta bergegas keluar meninggalkan bangunan selepas merasai gegaran akibat gempa yang melanda Sukabumi, Jawa Barat hari ini.– Gambar EPA, 23 Januari, 2018.

GEMPA bumi berskala 6.4 pada skala Richter berlaku di wilayah Sukabumi, Jawa Barat pada Selasa, dan kesan gegarannya turut dirasai di ibu kota Jakarta.

Menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), gempa bumi itu  yang berpusat di kira-kira 81 kilometer barat daya  Lebak Banten, berlaku kira-kira 1.34 petang.

Gempa bumi itu turut menyebabkan gegaran di ibu kota Jakarta dan orang ramai panik bergegas keluar dari bangunan.

Gegaran turut dirasai di Wisma Antara yang menempatkan pejabat Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di tingkat 16 dan semua petugas diarahkan berkumpul di luar bangunan sebelum dibenarkan kembali memasuki bangunan itu kira-kira 2.15 petang ini.

Menurut BMKG tiada ancaman tsunami dikeluarkan berikutan gempa bumi itu dan setakat ini belum terdapat maklumat lengkap berkenaan kesan kerosakan dan kemalangan jiwa akibat kejadian. – Bernama, 23 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen