4 pelancong disahkan positif Covid sebelum tiba ke Langkawi, kata KP kesihatan  


Ravin Palanisamy

Empat pelancong yang menuju ke Langkawi disahkan positif Covid-19 ketika menjalani ujian saringan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2021.

EMPAT pelancong yang menuju ke Langkawi disahkan positif Covid-19 ketika menjalani ujian saringan sebelum memasuki pulau peranginan itu, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata empat kes berkenaan dikesan di laluan masuk berbeza ke pulau berkenaan.

“3,454 pelancong berjaya disaring. Eampat kes Covid-19 dikesan menerusi ujian saringan di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi.

“Satu kes dikesan di Lapangan Terbang Pulau Pinang, satu di Lapangan Terbang Subang, dan dua di Terminal Feri Kuala Perlis,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Bagaimanapun tiada maklumat lanjut mengenai kes berkenaan termasuk mengenai kategori Covid-19.

Ujian saringan pelancong merupakan sebahagian daripada projek perintis gelembung perjalanan ke Pulau Langkawi, yang bermula semalam.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesan lima kes positif Covid-19 melibatkan pelancong tempatan yang menuju ke Pulau Langkawi.

Dr Noor Hisham berkata kesemua lima kes berkenaan adalah dibawah kategori satu, yang bermaksud tidak bergejala.

Mereka diarahkankan menjalani kuarantin di rumah dan pemantauan untuk tempoh 10 hari.

Dr Noor Hisham berkata kejayaan projek perintis Langkawi sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi pelancongan domestik seterusnya.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkata pihaknya menyasarkan sekitar 200,000 kedatangan pelancong domestik ke Langkawi antara bulan ini dan Desember.

Menterinya Nancy Shukri mengatakan sekitar 30,000 pelancong dijangka mengunjungi pulau peranginan bulan ini setelah dibuka semula di bawah projek percubaan gelembung pelancongan mulai hari ini. – 17 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen