Lelaki Perancis didakwa kerana samakan presiden dengan Hitler


Pada Julai, penunjuk perasaan memegang sepanduk menggambarkan wajah ahli politik, antaranya Presiden Perancis Emmanuel Macron, dengan misai Hitler semasa demonstrasi menentang langkah keselamatan Covid-19 termasuk pas kesihatan wajib yang ditetapkan pemerintah Perancis. – Gambar AFP, 17 September, 2021.

GARA-GARA menggambarkan Presiden Perancis Emmanuel Macron sebagai pemimpin Nazi Jerman Adolf Hitler, seorang lelaki didenda AS$12,000 oleh mahkamah republik itu pada Jumaat.

Michel-Ange Flori, 62, bekas eksekutif pengiklanan, menyiarkan gambar Macron yang kelihatan seperti diktator Jerman itu di papan iklan di selatan Perancis.

Ia dibuat sebagai protes terhadap dasar Covid-19 oleh pemerintah republik itu.

Perancis membatalkan larangan “mengutuk presiden” pada 2013 namun, seperti mana-mana warganegara lain, ketua negara dilindungi oleh undang-undang daripada “penghinaan awam”, walaupun kes seperti ini jarang di bawa ke mahkamah.

Berikutan aduan dari parti LREM Macron, pendakwa Laurent Robert berpendapat Flori telah menunjukkan “kesediaan mengundang bahaya”.

Pada satu poster yang dipasang pada Julai - hanya beberapa hari setelah pemerintah umum rancangan memperkenalkan pas kesihatan Covid - Macron digambarkan memakai seragam Nazi dengan misai Hitler bersama tulisan: “Patuh. Dapatkan vaksin.”

Sebulan kemudian, ketika siasatan terhadap poster tersebut dibuat, Flori memasang satu lagi papan iklan, kali ini menggambarkan Macron dengan pemimpin perang Perancis Philippe Petain.

Flori berpendapat di mahkamah dia ada “hak membuat jenaka”, berkata dia akan merayu terhadap keputusan itu.

“Presiden, yang selalu begitu cepat mempertahankan kebebasan bersuara, percaya bahawa hal itu tidak berlaku untuk dirinya sendiri,” kata peguam Flori, Beranger Tourne.

Tourne mengakui walaupun anak guamnya mungkin “tidak sopan, berbahasa kasar”, namun itu tidak bermaksud beliau “sama sekali bersalah” atas tuduhan tersebut.

Katanya poster itu harus dilihat dalam konteks “perdebatan polemik dan politik” mengenai pas kesihatan, yang membuktikan vaksinasi atau inokulasi terhadap virus untuk memasuki restoran dan tempat awam lain, atau ujian negatif baru-baru ini.

Kira-kira 20 orang hadir di luar mahkamah untuk menyokong defendan, membawa papan tanda bertuliskan “I am Flori”. – AFP, 17 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen