MPN bukan jawapan untuk pemulihan negara


TIADA siapa sangka, Muhyiddin Yassin yang sudah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri setelah hilang kepercayaan Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri, telah dilantik oleh Ismail Sabri Yaakob sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri pada 4 September 2021.

Pelantikan ini dibuat Ismail Sabri berlandaskan keyakinan terhadap kemampuan Muhyiddin menerajui strategi pemulihan negara bagi mengembalikan kehidupan rakyat yang terjejas teruk kerana krisis pandemik. Kembalinya Muhyiddin Yassin kepada MPN dilihat seperti seorang “Menteri Mentor” dalam kerajaan Ismail Sabri. 

Pada 14 September 2021, Ismail Sabri mempertahankan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN yang dipersoalkan oleh ahli Parlimen pembangkang. 

Mereka menyatakan pelantikan ini tidak berpandukan “sains dan fakta” berdasarkan rekod buruk Muhyiddin Yassin sebelum ini. Sebahagian rakyat melihat pelantikan ini satu kesilapan besar. 

Melihat kepada reaksi yang diberikan, bukankah pelantikan Muhyiddin ini menunjukkan penubuhan MPN ini hanyalah satu perkara yang sia-sia dan tidak berfungsi dalam memantau pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara?

Tempat ahli politik lama bernyawa

MPN merupakan satu konsep yang diciduk daripada Majlis Gerakan Negara (Mageran) dalam usaha menguruskan krisis pandemik. Maka, penubuhan MPN pada hari ini menggambarkan pemikiran politik lapuk pada era 1990-an masih menghantui sebilangan besar pemimpin politik dan rakyat Malaysia.

Dari sudut yang berbeza, MPN kini dijadikan tempat atau “jalan pintas” dan rebutan ahli politik lama bernafas untuk mendominasi politik negara. Dr Mahathir Mohamad bersungguh-sungguh mahu menjadi Pengerusi MPN sejak badan itu ditubuhkan. 

Malah, Mukhriz Mahathir juga mendedahkan bahawa Ismail Sabri telah berjanji untuk melantik Dr Mahathir sebagai Pengerusi MPN sekiranya beliau dilantik Perdana Menteri. 

Dr Khir Toyo pula mencadangkan agar semua bekas Perdana Menteri, termasuklah Najib Razak, dan bekas Timbalan Perdana Menteri dilantik ke dalam MPN atas kapasiti pengalaman luas mentadbir negara yang boleh membantu usaha menguruskan pandemik. Cadangan ini sebagai respon kepada pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN. 

Ternyata, MPN sudah tersasar jauh daripada fungsi asalnya. Apabila MPN dijadikan sarang ahli politik lama hidup, maka kepercayaan rakyat terhadap peranan badan ini akan terhakis. Malah, setiap perancangan yang dibuat MPN dijangka tidak mendatangkan impak besar kepada rakyat. 

MPN tidak mewakili rakyat

Tetapi, CSA antara kerajaan Ismail Sabri dan PH turut menyentuh tentang perubahan struktur MPN. Sebanyak 50 peratus anggota MPN dilantik dalam kalangan pakar. Pembangkang dan kerajaan hanya mendapat 25 peratus perwakilan. 

Namun, apakah signifikan penstrukturan ini jika MPN masih dipengerusikan oleh Muhyiddin yang ternyata cuai dalam urus tadbir? 

Apakah PH belum belajar daripada kegagalan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang akhirnya dimanipulasikan badan eksekutif? 

Sudah dua bulan ditubuhkan, orang awam masih tidak mengetahui cadangan-cadangan daripada MPN untuk mengatasi cabaran rakyat. Segala perbincangan MPN pula  tidak terbuka untuk diakses oleh orang ramai. 

Hakikatnya, MPN ini hanyalah sebuah jawatankuasa di peringkat kabinet. Sejauh mana rundingan dan cadangan dibuat oleh anggota MPN untuk kepentingan rakyat, Perdana Menteri dan kabinet mempunyai kata putus terakhir. Sebab itu juga, saya meragui tawaran Ismail Sabri untuk mengajak pembangkang menganggotai MPN dalam erti dwipartisan. 

Lebih buruk lagi apabila MPN yang dibentuk ini tidak diwakili anak muda yang juga kumpulan yang terkesan akibat Covid-19. Perkara ini bukan sahaja memperlihatkan MPN itu sendiri tidak inklusif, tetapi ia juga bercanggah dengan hasrat Ismail Sabri yang mahu mendengar suara anak muda dalam menentukan hala tuju Malaysia.

Bubar MPN dan perkukuh parlimen

Kini, Malaysia sedang melalui fasa pemulihan dan pembukaan sektor ekonomi. Dalam fasa ini, peranan MPN dilihat tidak lagi relevan dalam merangka perancangan mengatasi pandemik dan pemulihan ekonomi.

Peranan atau kuasa MPN sepatutnya diserahkan semula kepada setiap Menteri dan kementerian untuk merangka pelan strategi pemulihan Covid-19 bagi sektor-sektor bawah pengawasan mereka. 

Kaedah ini dapat memperkasakan fungsi setiap kementerian untuk merangka dasar berbanding pemusatan kuasa dibawah satu badan yang mengkoordinasi isu-isu berkait pandemik. 

Persoalannya, jika MPN dibubarkan, bagaimana pembangkang mahu melakukan dwipartisan menguruskan pandemik?

Pembangkang boleh memainkan peranan yang lebih berkesan melalui jawatankuasa pilihan khas (JPK) bagi mengawasi pentadbiran kerajaan Ismail Sabri dalam pelaksanaan pelan pemulihan Covid-19. 

Peranan JPK ini lebih luas, yakni berkuasa memanggil dan menyiasat Menteri atau penjawat awam untuk menerangkan sesuatu dasar kerajaan. 

JPK juga mempunyai kuasa untuk menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh seperti persatuan masyarakat dalam memberi maklum balas terhadap sesuatu dasar kerajaan. Pendekatan ini lebih baik berbanding fungsi MPN yang hanya mendapat maklumat daripada tenaga pakar dan pandangan kabinet.  

Komposisi JPK lebih mencerminkan semangat kerjasama dwipartisan antara kerajaan dan pembangkang yang sebenar. Ia juga lebih bebas daripada cengkaman atau dominasi jemaah menteri yang sering meminggirkan kepentingan rakyat dalam membuat keputusan.  

Jika perjanjian PH dan kerajaan Ismail Sabri bersetuju menubuhkan lebih banyak JPK, apakah rasionalnya negara memerlukan MPN dalam menjalankan pemantauan terhadap pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara? 

Sekiranya perjanjian tersebut dapat dirunding semula, saya berharap agar PH dan kerajaan Ismail Sabri boleh membubarkan MPN dan melibatkan lebih banyak JPK di parlimen untuk memantau dan mengkaji dasar-dasar mengatasi pandemik dan pelan pemulihan ekonomi. 

Pendekatan ini lebih matang, realistik, dan berlandaskan semangat dwipartisan berbanding MPN yang dilihat sudah menjadi alat politik pemimpin lama dan lemah dalam memainkan peranan untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat. – 17 September, 2021.

*Fakhrurrazi Rashid, Koordinator Penyelidik REFSA

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen