Ramai di ICU walau kes sembuh atasi jangkitan baharu Covid-19


Ravin Palanisamy

Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 1,223 pesakit di ICU, di mana 891 daripadanya disahkan Covid-19, sementara 332 merupakan kes yang disyaki dan sedang disiasat. – Gambar EPA, 17 September, 2021.

JUMLAH pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat hari ini walaupun negara melaporkan kes yang sudah pulih melebihi jangkitan baharu Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 1,223 pesakit di ICU, di mana 891 daripadanya disahkan Covid-19, sementara 332 merupakan kes yang disyaki dan sedang disiasat.

Katanya, 720 pesakit menggunakan alat bantuan pernafasan, di mana 410 daripadanya disahkan positif Covid-19 manakala selebihnya 310 pesakit disyaki, dan sedang disiasat. Semalam, seramai 1,222 di ICU dan 710 menggunakan ventilator.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 22,970 kes sembuh berbanding 17,577 jangkitan baharu dilaporkan, sekali gus menamatkan dua hari Malaysia mencatatkan jangkitan baharu melebihi kes yang sembuh.

Daripada jumlah jangkitan baharu hari ini, hanya 244 atau 1.4% kes berada dalam Kategori 3, 4 dan 5.

Selebihnya, sebanyak 17,333 kes tidak bergejala dan gejala ringan, iaitu dalam Kategori 1 dan 2.

Sebanyak 19 kluster baharu Covid-19 turut dikesan dalam 24 jam terakhir, yang menyumbang 872 kes.

Dari jumlah kluster hari ini, 11 berkait dengan tempat kerja (741 kes), enam kluster jangkitan komuniti (109 kes) dan dua kluster kumpulan berisiko tinggi (22 kes).

Antara negeri yang melaporkan kluster baharu ialah Johor dan Perak (masing-masing 4), Pahang (3), Selangor dan Kelantan (2), Melaka, Kuala Lumpur, Kedah dan Sarawak (masing-masing 1).

19 kluster hari ini menjadikan jumlah kluster negara kini sebanyak 5,247, di mana 1,387 masih aktif dan 3,860 telah tamat. – 17 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen