JUNTA Myanmar akan menghukum pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi kerana rasuah, kata peguamnya pada Jumaat, menambahkan lagi sejumlah kes baharu yang boleh memenjarakannya untuk beberapa dekad lagi,
Suu Kyi dikenakan tahanan di rumah sejak dia dan kerajaannya yang dipilih digulingkan oleh tentera dalam rampasan kuasa pada Februari yang mencetus pemberontakan besar-besaran dan tindakan keras terhadap perbezaan pendapat.
Pemenang hadiah Nobel berusia 76 tahun itu kini didakwa kerana melanggar sekatan Covid-19 semasa pilihan raya yang memenangkan partinya tahun lalu, atas tuduhan mengimport walkie talkie secara haram selain dituduh menghasut.
Beliau akan menghadapi perbicaraan baharu atas empat tuduhan rasuah bermula 1 Oktober ini di Naypyidaw, kata peguamnya Khin Maung Zaw.
Setiap tuduhan rasuah membawa hukuman maksimum 15 tahun.
Prosiding yang sedang berlangsung ditangguhkan selama dua bulan ketika Myanmar bergelut dengan lonjakan Covid-19 dan hanya dilanjutkan minggu ini, dengan Suu Kyi tidak hadir pada hari pertama atas alasan kesihatan.
Wartawan dilarang dari semua prosiding setakat ini.
Junta juga telah mendakwanya menerima pembayaran emas secara haram dan melanggar undang-undang kerahsiaan era penjajah, walaupun kes ini masih belum diadili.
Kerajaan pimpinan Suu Kyi digulingkan tentera kerana menipu dalam pilihan raya pada 2020, di mana partinya mengalahkan parti politik yang bersekutu dengan tentera.
Pemberontakan dan rusuhan di seluruh negara telah melumpuhkan ekonomi negara Asia Tenggara itu.
Lebih 1,100 orang terbunuh dan lebih 8,000 ditangkap, menurut kumpulan pemantau tempatan.
Namun pihak tentera mendakwa jumlahnya jauh lebih rendah.
Ketua junta Min Aung Hlaing berkata pilihan raya akan diadakan dan keadaan darurat ditarik semula menjelang Ogos 2023, melanjutkan lagi tempoh pemerintahan tentera. – AFP, 17 September, 2021.
Komen