PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro yang tidak divaksin berkata beliau akan ke mesyuarat PBB di New York minggu depan, sekali gus menidakkan pengumuman pihak berkuasa yang mahukan bukti vaksinasi kepada semua pemimpin dan diplomat.
“Minggu depan saya akan berada di Mesyuarat Agung PBB, di mana saya akan beri ucapan perasmian” pada Selasa, kata presiden itu pada siaran langsung di media sosial.
Ia akan jadi “ucapan yang tenang, sangat objektif, tertumpu pada isu-isu yang menarik bagi kita,” tambah Bolsonaro, berkata beliau akan membincangkan pendekatan Brazil terhadap pandemik Covid-19, perniagaan pertanian, dan tenaga.
Pada Rabu, pejabat datuk bandar New York menulis UNGA menetapkan garis panduan, termasuk perwakilan perlu tunjuk bukti vaksinasi untuk masuk ke sidang itu - langkah yang menimbulkan persoalan mengenai penyertaan Bolsonaro secara langsung.
Surat yang ditandatangani oleh pesuruhjaya kesihatan New York City itu berkata dewan PBB diklasifikasikan sebagai “pusat konvensyen,” yang bermaksud semua peserta mesti diberi vaksin, sama seperti orang lain yang turut serta dalam beberapa aktiviti dalaman di bandar.
Beberapa jam kemudian, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata beliau tidak dapat mengenakan syarat itu kepada ketua negara.
Bolsonaro, yang pernah dijangkiti Covid-19 tahun lalu, berkata beliau akan jadi rakyat Brazil terakhir yang suntik vaksin.
Brazil, dengan populasi 213 juta, berada di kedudukan keempat di seluruh dunia dalam jumlah dos vaksin yang diberikan, menurut kumpulan penyelidikan Our World in Data.
Bagaimanapun presiden hingga kini menolak untuk mendapatkan suntikan itu, menyatakan beliau sudah diimunisasi kerana kadar antibodinya tetap masih baik. – AFP, 17 September, 2021.
Komen