Gencatan politik: Harapan untuk rakyat


MESKIPUN kelihatan seperti rapuh, satu gencatan politik yang bersejarah telah dimeterai di Malaysia, sekurang-kurangnya ia memberi masa sehingga pertengahan tahun depan. Ia akan memberi ruang untuk meleraikan kebuntuan pentadbiran serta membentuk semula landskap politik negara. 

Dengan hanya sokongan 114 orang daripada 220 Ahli Parlimen, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Walaupun beliau ahli Umno, Ismail terpaksa menangkis ugutan dan sabotaj berterusan daripada kepimpinan Umno sendiri yang diketuai Presiden Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Najib Razak, kedua-dua sudah tercemar wibawa kerana kes-kes mahkamah berkaitan skandal korupsi.

Kedudukannya lebih stabil berbanding Muhyiddin Yassin yang terpaksa meletak jawatan pada 16 Ogos lalu. Namun, tekanan yang hampir sama menyebabkan kerajaan Ismail memeterai persefahaman dengan Pakatan Harapan bagi membolehkan pelaksanaan gencatan politik tersebut.

Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik itu mengandungi pakej fiskal dan langkah memerangi Covid-19, serta reformasi Parlimen dan pilihan raya yang selama ini diperjuangkan oleh Pakatan Harapan.

Apa yang dipersetujui

Kerajaan Ismail bersetuju untuk meminda akta untuk menaikkan had pinjaman kerajaan persekutuan daripada 60% kepada 65% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada bulan Oktober. Ini dilakukan bagi memudahkan suntikan dana sebanyak RM45 bilion sebagai pakej rangsangan khas. 

Kerajaan juga bersetuju untuk:

* Meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menggubal undang-undang menyekat amalan lompat parti;
* Menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun;
* Melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik;
* Menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun;
* Memperkukuhkan Parlimen dan jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen; dan
* Menyediakan peruntukan kewangan setara kepada Ahli Parlimen pembangkang yang terlibat dengan MoU tersebut.

Semua reformasi ini bertujuan untuk mengimbangkan kuasa di antara kerajaan dan pembangkang. Sebagai balasan kepada persetujuan kerajaan untuk melaksanakan reformasi itu, pembangkang tidak akan menolak Belanjawan 2022 serta rang undang-undang berkaitan. 

Maksudnya, dalam persefahaman itu, Pakatan Harapan telah berjanji untuk menyokong rang undang-undang yang dibawa oleh kerajaan jika ia dirunding bersama secara jujur, atau setidak-tidaknya memilih untuk berkecuali, jika perlu, apabila undian dijalankan untuk meluluskan rang undang-undang tersebut. 

Punca kebuntuan

PRU 2018 telah menyaksikan hanya 54 Ahli Parlimen Umno menang dalam pilihan raya tersebut, dan daripada jumlah itu, 15 orang yang diketuai Hamzah Zainuddin, telah melompat parti untuk menyertai Bersatu pada Februari 2019.

Pada Februari tahun lepas pula, berlaku rampasan kuasa Langkah Sheraton yang dirancang oleh Umno, PAS dan GPS serta segerombolan pengkhianat PKR dan Bersatu.

Namun, walaupun berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang hanya berkuasa selama 22 bulan, gabungan rapuh yang diterajui Muhyiddin terpaksa bergelut pula dengan pemberontakan dalaman yang dicetuskan oleh Zahid dan Najib.

Dengan majoriti tipis di Parlimen, Muhyiddin bertungkus-lumus cuba memikat Ahli Parlimen pembangkang untuk menyertai beliau tetapi tiada siapa mahu melompat naik ke atas kapal yang sedang karam. 

Pada Ogos tahun lalu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, mencadangkan kepada kerajaan Muhyiddin idea untuk menandatangani perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA). Idea inilah yang kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk MoU yang ditandatangani itu.

CSA merupakan satu mekanisme Parlimen yang biasa bagi negara-negara demokrasi matang, terutamanya di Barat, untuk memberi peluang kepada kerajaan minoriti atau bermajoriti tipis meneruskan pentadbiran.

Sesebuah kerajaan boleh berbuat demikian dengan mendapatkan persetujuan pembangkang untuk tidak menumbangkannya berdasarkan beberapa prasyarat, termasuk memenuhi tuntutan pembangkang untuk kebaikan rakyat.

Anthony Loke mengemukakan cadangan itu sebagai satu kaedah gencatan politik untuk membolehkan negara menumpukan seluruh tenaga dan usaha memerangi pandemik Covid-19. 

Sebulan selepas itu, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mengumumkan beliau mempunyai majoriti yang “kukuh dan meyakinkan”, yang dilihat oleh pemerhati politik sebagai sokongan daripada kelompok Zahid.

Dalam keadaan tertekan itu, Muhyiddin mengambil jalan mudah untuk mendapatkan perkenan Istana bagi menggantung Parlimen melalui pengisytiharan darurat. 

Percubaan pertamanya telah ditolak pada Oktober, sewaktu perbincangan tidak rasmi tentang idea CSA sedang berlangsung di antara kerajaan dan pembangkang. Namun, permintaan itu kemudiannya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Januari tahun ini. 

Malang bagi Muhyiddin, darurat gagal menyelesaikan masalah negara. Pandemik semakin teruk dan ekonomi rakyat turut terjejas.

Di saat-saat akhir kedudukannya sebagai Perdana Menteri, beliau cuba menyelamatkan diri dengan menawarkan pakej reformasi CSA yang telah dirunding bersama dengan Tony Pua dan Dr Ong Kian Ming daripada DAP, namun segalanya sudah terlambat. 

Ramai sedar bahawa walaupun Ismail merupakan pemimpin Umno, beliau tidak sebulu dengan Zahid. Malah, kerajaannya hari ini merupakan jelmaan semula gabungan Muhyiddin yang kini turut dibawa masuk kembali untuk menerajui Majlis Pemulihan Negara. 

Menyedari kedudukannya yang masih tidak stabil, Ismail terpaksa menangkis ugutan kelompok Zahid serta cabaran kelompok Azmin Ali yang mahu ketua mereka dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Perdana Menteri telah bertemu dengan para pemimpin Pakatan Harapan dan menyatakan komitmennya sehari sebelum pengumuman senarai jemaah menteri dibuat pada 27 Ogos lalu untuk memulakan rundingan CSA.

Kejayaan Pakatan Harapan 

Politik cara lama, iaitu sebuah parti dominan (Umno) yang menguasai gabungan besar (BN), sudah semakin pupus. Era “kerajaan tahu segala-galanya” juga sudah tiada lagi.

Apabila Pakatan Harapan mencatatkan kejayaan demi kejayaan sejak 2008 (termasuk ketika era pembangkang Pakatan Rakyat), kerajaan Umno-BN telah melakukan bermacam bentuk tekanan, termasuk memenjarakan Anwar Ibrahim, demi melemahkan pembangkang. Muhyiddin juga cuba mengamalkan politik zalim yang lapuk ini tetapi gagal.

Semua itu akhirnya menjurus kepada detik bersejarah di mana termeterainya MoU yang bertujuan membawa negara ke arah kestabilan politik. Suka atau tidak, ia menandakan penerimaan umum bahawa kerajaan dan pembangkang perlu bekerjasama melalui struktur Parlimen. 

Parlimen Malaysia yang selama ini dilihat lemah kini diberi nafas baharu sebagai jalan untuk mencapai konsensus secara dwipartisan.

Jika kerajaan Ismail benar-benar jujur menunaikan janjinya untuk membentuk perkhidmatan Parlimen yang bebas dan menubuhkan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas untuk mengawasi kementerian, rakyat berpeluang melihat pentadbiran yang lebih telus.

Salah satu usaha penting Pakatan Harapan ialah memastikan penurunan umur layak mengundi kepada 18 tahun. Ia telah diluluskan pada Julai 2019 secara dwipartisan semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan. Ketika itu, Ismail Sabri merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen.

Sekiranya undi 18 yang memerlukan pindaan Perlembagaan, yakni majoriti dua pertiga di Parlimen, boleh diluluskan, tidak mustahil reformasi lain yang realistik juga dapat dilaksanakan. 

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya pada tahun 2019, penurunan umur layak mengundi kepada 18 tahun dan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik akan menambah 7.8 juta pengundi baharu dalam daftar pemilih. Jumlah terkini pengundi berdaftar telah mencecah 15 juta orang. 

Penyertaan pengundi muda secara besar-besaran akan menjadikan mereka sebagai kuasa penentu dalam PRU akan datang. Setakat ini, tiada siapa dapat membaca pemikiran dan sentimen pengundi muda.

Oleh kerana MoU memberi jaminan bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai tahun hadapan, ia bererti kerajaan Ismail mempunyai tempoh hampir dua tahun untuk melaksanakan reformasi yang dijanjikan.

Biarpun MoU itu terhasil daripada keterdesakan Ismail untuk mengelak daripada senasib seperti Muhyiddin, ia tetap merupakan satu detik bersejarah untuk Malaysia. Ia juga akan memberi kesan besar kepada perjalanan politik negara. – 17 September, 2021.

* Liew Chin Tong, pengarah pendidikan politik DAP

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen