Malaysia perlu program 'fellowship' untuk diplomasi kebudayaan


MENTERI Luar Negeri Saifuddin Abdullah menggariskan enam perkara utama yang menjadi fokus beliau di kementeriannya.

Saya tertarik apabila beliau menyatakan satu daripada fokus tersebut adalah diplomasi kebudayaan. 

Diplomasi kebudayaan ini adalah salah satu elemen penting jika kita mahu meningkatkan soft power Malaysia di mata dunia.

Diplomasi kebudayaan boleh difahami sebagai penggunaan dan pertukaran idea, tradisi, dan pemikiran antara negara bangsa.

Ia boleh dijelmakan dalam bentuk pertukaran delegasi antara negara, aktiviti kebudayaan, percambahan idea dan lain-lain lagi yang boleh memperkenalkan cara hidup kita kepada dunia.

Negara kita mempunyai banyak perkara yang boleh dikongsi dengan dunia, termasuklah cara kita menguruskan kepelbagaian kaum dan agama, kekayaan adat resam, kejayaan pembangunan ekonomi, dan juga usaha pemulihan negara daripada kesan wabak Covid-19.

Pandangan peribadi saya, kita harus gunakan waktu Covid-19 ini untuk merancang program diplomasi kebudayaan yang tersusun, terarah dan disertakan dengan peruntukan yang mencukupi. 

Apabila SOP membenarkan sempadan antarabangsa dibuka semula nanti, alangkah baik jika kita ada program yang boleh menyaingi program diplomasi budaya yang terkenal seperti Fulbright Fellowship (Amerika Syarikat) dan Chevening (United Kingdom).

Jika disusun dengan baik dan berstrategi, serta dirancang dari sekarang untuk dimasukkan sebagai salah satu agenda Belanjawan 2022, saya percaya kita boleh lakukannya. – 17 September, 2021.

* Wan Saiful Wan Jan, ketua Penerangan Bersatu.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen