Sudu jadi simbol baharu kebebasan Palestin


Penunjuk perasaan membawa sudu dan bendera Palestin, yang dilaporkan digunakan oleh enam tahanan Palestin untuk melarikan diri dari penjara Gilboa Israel. – Gambar AFP, 17 September 2021.

SUDU kini menjadi simbol rakyat Palestin, selepas tahanan lolos daripada penjara Israel menggunakan perkakas dapur itu.

Apabila enam rakyat Palestin melarikan diri melalui terowong pada 6 September dari penjara Gilboa dengan keselamatan tinggi, rangkaian media sosial berkongsi gambar terowong di bawah sinki, dan lubang yang digali di luar.

Tanda pagar, “sudu ajaib”, menunjukkan bagaimana prestasi gaya Hollywood mungkin berlaku.

Tetapi sama ada sama ada sudu itu benar-benar digunakan dalam kejadian itu tidak jelas.

Kemudian pada Rabu, peguam seorang daripada tahanan yang berjaya ditangkap semula memberitahu AFP anak guamnya, Mahmud Abdullah Ardah berkata beliau menggunakan sudu, piring dan juga pemegang cerek untuk menggali terowong dari selnya.

Beliau mula menjalankan operasinya dari penjara Israel utara pada Disember, kata peguam Roslan Mahajana.

Ardah adalah seorang daripada empat tahanan yang kemudian ditangkap selepas tentera dikerahkan ke Tebing Barat yang diduduki sebagai sebahagian daripada pemburuan besar-besaran.

Keenam-enam mereka dituduh merancang atau melakukan serangan terhadap Israel.

Dua lagi tahanan masih belum ditangkap susulan kes lolos yang sangat jarang berlaku. Israel memulakan siasatan mengenai insiden memalukan itu, yang dilihat oleh rakyat Palestin sebagai “kemenangan”.

“Dengan tekad, waspada ... dan licik, dan dengan sudu, ia memungkinkan untuk menggali terowong di mana rakyat Palestin melarikan diri dan musuh dipenjarakan,” kata penulis Sari Orabi di laman web Arabi 21.

Kartunis Palestin, Mohammed Sabaaneh berkata insiden itu menimbulkan “humor pahit” dan mendedahkan sistem keselamatan Israel kepada cemuhan.

Beliau melukis beberapa gambar yang memaparkan perkakas dapur, termasuk yang bertajuk “Terowong Kebebasan”.

Isu ini juga menimbulkan kekaguman di luar wilayah Palestin, apabila sudu dibawa ketika demonstrasi menyokong tahanan yang ditangkap oleh Israel.

Di Kuwait, seniman Maitham Abdal mengukir tangan raksasa menggenggam sudu - dan menggelarkannya “sudu kebebasan”.

Ia turut memberi inspirasi kepada pereka grafik yang berpangkalan di Amman, Raed al-Qatnani apabila secara simbolik melukis enam individu meniti jambatan sudu menuju kebebasan.

Baginya, ia juga mencetus banyak mogok lapar yang dilakukan oleh tahanan Palestin untuk memprotes penahanan semula mereka.

Di Tulkarem, sebuah kota di Tebing Barat yang diduduki oleh Israel sejak 1967, insiden itu mencetus kembali kenangan bagi Ghassan Mahdawi. 

Beliau dan seorang banduan lain melarikan diri dari penjara Israel pada 1996 melalui terowong yang digali menggunakan paku.

Beliau ditangkap kerana menjadi anggota kumpulan bersenjata semasa intifada Palestin pertama, yang berlangsung hingga awal 1990-an.

“Tiada apa-apa yang tidak dapat dilakukan oleh tahanan ... dan selalu ada kekurangan” dalam sistem, kata Mahdawi, yang ditangkap semula dan kemudian dibebaskan selepas 19 tahun ditahan.

Pada pandangannya, insiden lolos terbaharu itu mungkin menggunakan alat selain sudu, yang diperoleh di dalam penjara, untuk melaksanakan impian setiap tahanan tetapi hanya sedikit yang berjaya.

“Melarikan diri dari penjara Israel adalah sesuatu yang difikirkan oleh setiap tahanan,” kata Mahdawi.

Katanya, kejayaan melakukannya dengan sudu adalah sesuatu yang akan dicatat dalam sejarah. – AFP, 17 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen