Itali wajibkan pas hijau untuk pekerja


Anti vaksin mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan menentang penggunaan pas hijau di Itali. Negara itu menguatkuasakan perintah penggunaan pas hijau bagi kebanyakan sektor termasuk pekerjaan. – Gambar EPA, 17 September, 2021.

ITALI semalam mewajibkan penggunaan pas hijau untuk semua pekerja dalam usaha meningkatkan kadar vaksin menjelang musim selsema musim sejuk.

Pekerja yang tidak divaksin atau tidak mempunyai bukti ujian koronavirus negatif akan dikenakan tindakan undang-undang mulai 15 Oktober.

“Kami mewajibkan pas hijau ke seluruh sektor pekerjaan baik awam mahupun swasta.

“Kami melakukannya atas dua alasan iaitu bagi menjadikan kawasan ini lebih selamat dan menguatkan lagi kempen vaksinasi,” kata Menteri Kesihatan Roberto Speranza pada sidang media selepas kerajaan mengambil keputusan menguatkuasakan perintah berkenaan.

Pas itu adalah sijil yang menunjukkan sama ada seseorang sudah divaksin, diuji negatif dalam 48 jam sebelum atau baru pulih dari virus berkenaan.

Setakat ini, penggunaan pas hijau diwajibkan untuk makan di dalam restoran, panggung wayang dan stadium sukan, kereta api dan bas antara bandar atau penerbangan domestik serta untuk guru.

Lebih 40 juta penduduk sudah diberi vaksin sepenuhnya kira-kira75% populasi yang berusia 12 tahun ke atas. Kerajaan juga berharap dapat meningkatkan jumlah itu sebanyak empat juta lagi

Doktor tidak divaksin digantung tugas

Berdasarkan undang-undang baharu, pekerja yang tidak mempunyai pas berkenaan akan dikenakan denda hingga AS$1,200, menurut laporan media.

Ketidakhadiran bekerja kerana gagal mendapatkan pas boleh menyebabkan pekerja digantung kerja, kata mereka.

Persatuan perubatan FNOMCeO memberitahu AFP semalam bahawa seramai 728 doktor digantung kerana tidak mengambil vaksin.

Dalam kalangan tenaga pengajar, 93.1 peratus sudah divaksin sepenuhnya atau menerima sekurang-kurangnya dos pertama, sementara 6.7 peratus lagi sedang menunggu dos pertama atau suntikan tunggal Johnson & Johnson, menurut kerajaan.

Itali adalah negara Eropah pertama yang dilanda gelombang kes Covid-19 pada Februari dan lebih 130,000 maut akibat wabak itu.

Itali bukan negara pertama yang mewajibkan pekerja divaksin atau menjalani ujian saringan.

Sejak 13 September, pekerja yang tidak divaksin di sektor swasta dan awam perlu diuji dengan kos ditanggung sendiri selama dua kali seminggu bergantung pada profesion mereka. – AFP, 17 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen