PERNIAGAAN yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan terperangkap dengan sindiket ceti haram bagi meneruskan kelangsungan hidup kini menjadi sasaran pemiutang kerana gagal membayar balik pinjaman mereka.
Biro aduan awam beberapa parti politik memberitahu The Malaysian Insight bahawa kebanyakan peniaga terpaksa mendapatkan pinjaman berkenaan berikutan kehabisan modal susulan pelaksanaan kawalan pergerakan bagi membendung Covid-19.
Peminjam sindiket ceti haram ini tidak hanya terhad kepada perniagaan malah beberapa individu yang kehilangan sumber pendapatan turut melakukan perkara sama.
Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan Gerakan, Andy Liew Haw Ching berkata sebahagian besar peminjam yang meminta bantuan pihaknya adalah wanita.
“Mereka mempunyai satu persamaan, semuanya terlibat dalam industri kecantikan, seperti pusat rawatan muka dan dandanan rambut,” katanya.
Katanya, sektor ini tidak dibenarkan beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan dilaksanakan sejak tahun lalu kerana ia tidak dianggap penting. Ini menyebabkan masalah aliran tunai dan pemilik perniagaan terpaksa meminjam dengan ceti haram.
“Peminjam tidak dapat membayar balik pinjaman mereka kerana kadar faedah yang tinggi dan menyebabkan jumlahnya semakin bertambah.”
Setakat ini, Liew berkata beliau telah dihubungi 10 orang untuk mendapatkan bantuan tahun ini.
Setelah berbincang dengan pemiutang, ada yang bersetuju membenarkan peminjam membayar balik dengan jumlah pinjaman sahaja manakala yang lain terus mengganggu mereka.
Sindiket ceti haram sering menggunakan taktik memalukan mangsa bagi memastikan peminjam membuat bayaran.
Seorang wanita yang meminta bantuan Liew memberitahu dia dipaksa “menjadi pelacur” oleh lintah darat ini sehingga dapat melangsaikan hutangnya.
“Bukannya peminjam tidak mahu membayar balik wang itu, tetapi mereka tidak pernah mengharapkan wabak itu berlarutan begitu lama lantas mereka tidak dapat membuka perniagaan.”
Liew berkata modus operandi sindiket ini bergerak secara dalam talian dengan berpura-pura menjadi pemberi pinjaman berlesen dan berjanji memberi kelulusan dalam tempoh 24 jam.
“Ada yang diminta membayar wang pendahuluan sebelum mereka dapat meminjam. Kumpulan ini menggunakan media sosial dengan mensasarkan golongan rentan terutamanya orang tua. Waspada dan jangan terjebak dengan perangkap mereka,” katanya.
Liew berkata jika ada terdesak memerlukan duit, mereka harus meminjam daripada bank.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din berkata 683 laporan polis terhadap pemberi pinjaman wang tidak berlesen dibuat antara Januari hingga Ogos tahun ini.
Beliau berkata pandemik Covid-19 menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan hingga memaksa beberapa indidvidu meminjam wang daripada sindiket ceti haram bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Laporan tersebut melibatkan pinjaman berjumlah RM2.92 juta. – 17 September, 2021.
Komen