PASAR Pimolchai di pusat bandar Yala telah dibuka semula pada Selasa, sehari selepas insiden serangan bom yang meragut tiga nyawa dan mencederakan lebih 20 lagi, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).
Bagaimanapun, tidak ramai pembeli kelihatan pada sebelah pagi, yang biasanya penuh sesak.
Banyak kedai telah dibuka namun yang menjual daging babi terus ditutup kerana gerai terbabit musnah dalam letupan itu.
Dalam insiden itu, seorang suspek telah memarkir motosikal di depan sebuah gerai yang menjual daging babi dan bergegas meninggalkan lokasi kejadian beberapa minit sebelum bom meletup.
Tahap keselamatan di pasar itu telah diperketat untuk memberi keyakinan kepada peniaga dan pembeli.
Ketua Polis Wilayah Yala, Mejar Jeneral Kritsada Kaewchandee, turut melawat pasar itu untuk meningkatkan semangat orang awam.
TNA melaporkan bahawa polis menjejaki suspek yang imejnya telah ditunjukkan dalam rakaman kamera CCTV. – 23 Januari, 2018.
Komen