Najib akui kelemahan 1MDB, dakwa isu itu dipergunakan


Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor tersenyum manja di majlis pelancaran Sahabat Puteri Barisan Nasional, Azalea 2018. Hari ini ketika berucap pada para pelabur, Najib mengakui kegagalan 1MDB selain menuduh pihak tertentu mempergunakan kegagalan 1MDB sebagai senjata politik. – Gambar The Malaysian insight oleh Najjua Zulkefli, 23 Januari, 2018.

PUTRAJAYA sedar bahawa 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mengalami masalah namun isu itu telah dijadikan senjata untuk menyerang kerajaan, kata Perdana Menteri Najib Razak kepada para pelabur hari ini.

“Sekarang, saya tak akan ketepikan isu ini. Memang syarikat lemah, ada urus tadbir lemah. Ada sebab sahih untuk isu ini,” katanya ketika berucap di majlis Invest Malaysia 2018 di Kuala Lumpur.

“Sebab itulah saya arahkan satu siasatan menyeluruh dan terperinci dalam sejarah korporat di Malaysia, yang melibatkan pelbagai badan berkuasa, termasuk badan Parlimen dwipartisan.

“Penemuan mereka diambil kira dan lembaga syarikat itu pun dibubarkan, pasukan pengurusnya ditukar, dan operasinya dinilai semula,” kata Najib.

Bagaimanapun perdana menteri yang mewujudkan dan menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB itu juga berkata bahawa firma tersebut dijadikan sasaran untuk menunjukkan ekonomi Malaysia dalam keadaan teruk.

“Dalam Malaysia, ada kempen berterusan untuk sabotaj ekonomi kita bagi mendapat kepentingan politik. Cabaran di peringkat institusi milik kerajaan dihebohkan dan digunakan sebagai senjata untuk menunjukkan yang ekonomi kita sedang jatuh,” kata Najib, merujuk kepada serangan terhadap 1MDB. 

Pada majlis Invest Malaysia tahun lalu, Najib juga telah membuat kenyataan sama dengan mengakui “kesilapan dalam membuat keputusan” oleh 1MDB, namun menekankan bahawa kerajaan telah mengorak langkah untuk melakukan siasatan.

Hari ini, beliau mengulang semula tindakan Putrajaya untuk mengarahkan 1MDB mengemukakan masalahnya, seperti mengamalkan rasionalisasi bagi mengurangkan beban hutang dan memastikan yang projek Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange menjadi tarikan pelabur.

Dalam pada itu, Najib menafikan keterlibatannya dalam skandal rasuah 1MDB, selain tuduhan menyalur dana daripada pelabur negeri dan menolak desakan untuk meletak jawatan.

Pada 2016, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berkata sejumlah kira-kira RM3 bilion (AS$731 juta) didapati disalurkan ke dalam akaun peribadi milik Malaysian Official No. 1 (MO1).

Walau DoJ tidak menamakan Najib sebagai MO1 namun perkara itu kemudiannya disahkan oleh Menteri di jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan bahawa MO1 merujuk kepada perdana menteri.

DoJ turut memulakan saman sivil untuk memperolehi semula aset hartanah, hak filem dan aset lain berjumlah lebih RM4.3 bilion (AS$1 bilion).

Peguam Negara AS Jeff Sessions menggelarkan skandal 1MDB ini sebagai “kleptokrasi pada tahap paling parah.” – 23 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen