MoU sepatutnya janjikan lebih banyak pembaharuan, kata Azalina


Raevathi Supramaniam

MoU) antara kerajaan dan PH sepatutnya menjanjikan lebih banyak pembaharuan dan lebih komprehensif, kata Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2021.

MEMORANDUM persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya menjanjikan lebih banyak pembaharuan dan lebih komprehensif, kata Azalina Othman Said.

Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu berkata demikian pada forum dalam talian “MOU - A Pathway To Transformation and Stability?” anjuran Asli menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

“Saya menjangkakan lebih lagi (daripada MoU ini). Saya mengharapkan sesuatu yang lebih konkrit, kerana ia sudah pasti akan menjadi satu platform yang matang dan berbeza,” katanya.

Pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) memeterai perjanjian pada 13 September lalu, untuk merintis kestabilan politik di tengah usaha menangani penularan Covid-19 dan memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik.

Perjanjian yang dinamakan memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik itu merangkumi enam perkara, didahului pemerkasaan pelan Covid-19.

Ia turut menyenaraikan persefahaman mengenai perubahan institusi melibatkan transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, dan kebebasan institusi kehakiman.

Dua lagi perkara yang dipersetujui menyentuh Perjanjian Malaysia 1963 serta pembentukan sebuah jawatankuasa pemandu.

Melalui MoU yang dimeterai itu juga, kerajaan berjanji untuk membuat tiga pembaharuan utama menjelang pertengahan tahun depan, sebelum Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen.

Tiga pembaharuan itu adalah rang undang-undang (RUU) antilompat parti, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran mengundi automatik, dan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri tidak melebihi 10 tahun.

Antara pembaharuan lain yang terkandung dalam MoU tersebut termasuklah RUU Perkhidmatan Parlimen yang akan memberikan autonomi institusi, pentadbiran dan kewangan kepada Parlimen.

Azalina yang juga ahli Parlimen Pengerang berkata MoU yang dimeterai itu tidak menyatakan dengan jelas bilakah pembaharuan yang dijanjikan akan dilaksanakan. 

“Bagi saya, apabila bercakap tentang banyak pembaharuan terutamanya pembaharuan Parlimen, saya gembira. Saya tak perlu kemuka rang undang-undang persendirian kerana kerajaan sudahpun mempunyai undang-undang antilompat parti.

“Tetapi apabila saya semak aturan urusan mesyuarat, tiada undang-undang antilompat parti. Sesiapa sahaja boleh lompat parti pada bila-bila masa sehinggalah undang-undang itu dilaksanakan,” katanya. – 16 September, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen