PKR hanya pilih terbaik jadi calon PRU15, kata Anwar


Noel Achariam

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata parti akan menjalankan saringan menerusi pelbagai jawatankuasa untuk PRU15 akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2021.

PKR hanya akan meletakkan calon terbaik pada pilihan raya umum akan datang tanpa mengira sama ada mereka dari sayap Pemuda atau Wanita, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR berkata mengimbas kembali sejarah, parti itu mempunyai banyak pemimpin muda yang menonjol di Parlimen dan sebagai Adun.

“Penilaian kami masih sama. Pada akhirnya kami akan memilih calon terbaik. Ia mungkin dari sayap Pemuda atau Wanita.

“Dan kini sekarang dalam kumpulan anak muda ada banyak yang menunjukkan kemampuan dan kelayakan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Beliau sebelum itu mengalu-alukan penyertaan bekas aktivis pelajar dan peguam Asheeq Ali Sethi Alivi, bekas pemimpin pelajar Adam Adli Abdul Halim dan aktivis Sarah Hadi bersama PKR.

Beliau berkata parti akan menjalankan saringan menerusi pelbagai jawatankuasa untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)akan datang.

“Kami belum sampai ke tahap sudah memilih (calon). Namun, penyertaan anak muda dalam (PRU15) adalah tinggi.

“Fokus kami sekarang adalah untuk menggerakkan jentera (pilihan raya) kami,” katanya.

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata ketiga-tiga aktivis belia yang mendaftar dengan parti mewakili 20 aktivis muda lain yang bersetuju untuk menyertai parti itu.

“Ini menunjukkan Anwar masih popular di kalangan anak muda. Individu ini juga membawa pengalaman dan pengaruh mereka sendiri ke dalam parti,” katanya.

Asheeq mengatakan adalah keputusan yang sukar untuk masuk ke dalam politik, tetapi golongan muda memerlukan perwakilan dalam politik.

“Suara anak muda tidak boleh diabaikan dalam politik.

“Anak-anak muda ini tidak boleh diabaikan oleh pemimpin politik. Kita memerlukan perubahan yang drastik.”

Adam berkata PKR adalah platform politik pelbagai kaum yang walaupun mungkin tidak sempurna sepenuhnya, ia sesuai dengan tekad politik yang beliau pegang.

“Sejarah panjang parti ini, dari gerakan Reformasi hingga perjuangan di bawah Pakatan Harapan sekarang, mencetuskan banyak kemungkinan dan perubahan untuk negara ini.

“Saya percaya ia masih belum selesai. Masih ada masa depan yang boleh kita capai bersama dan ada ruang untuk perubahan yang dapat kita perjuangkan bersama.”

Anwar menambah anak muda juga mempunyai pengaruh untuk memberitahu rakan lain mengapa mereka bergabung dengan PKR.

“Anak muda berhak mengetahui tentang parti. Itu paling utama.” – 16 September, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen