KOREA Selatan berjaya menguji peluru berpandu balistik dari kapal selamnya pada Rabu, kata Blue House, menjadikan ia satu daripada tujuh negara di dunia dengan teknologi canggih.
Peluru berpandu ditembak di bawah air dari kapal selam Ahn Chang-ho yang baharu ditauliahkan berkhidmat, dan terbang pada jarak dirancang sebelum sampai ke sasarannya, kata Blue House.
Presiden Moon Jae-in turut hadir semasa ujian itu.
Korea Selatan meningkatkan kemampuan ketenteraannya dalam usaha menangani ancaman dilakukan Korea Utara.
Ia juga sedang dalam usaha memperoleh pengalihan kawalan operasi terhadap tenteranya pada masa perang daripada AS, di bawah syarat pakatan mereka.
Semua negara lain dengan kemampuan peluru berpandu balistik kapal selam (SLBM) memiliki senjata nuklear sendiri.
Memiliki SLBM adalah “sangat bermakna dari segi melindungi diri daripada ancaman semua arah”, kata Blue House.
“Ia diharapkan dapat memainkan peranan utama dalam pertahanan negara yang mandiri dan pembentukan perdamaian di Semenanjung Korea seterusnya,” tambahnya.
Ahn Chang-ho, yang dinamakan sempena aktivis kemerdekaan yang dihormati, adalah kapal selam 3,000 tan yang mula beroperasi bulan lalu.
Awal tahun ini, pentadbiran Biden menghapus sekatan 42 tahun dikenakan Washington yang menghalang Korea Selatan untuk membangunkan peluru berpandu dengan jarak lebih jauh dari 800km.
Sebaliknya, Pyongyang sekian lama berusaha mengembangkan teknologi SLBM, dan berbangga dengan empat alatan seperti itu semasa perarakan ketenteraan yang disaksikan pemimpin Kim Jong Un pada Januari, dengan media negara KCNA menyifatkan mereka “senjata paling berkuasa di dunia”.
Tetapi ketika Korea Utara mengedarkan gambar pelancaran bawah laut, penganalisis percaya ia dari platform tetap dan bukannya kapal selam.
Pada Januari, Kim memberitahu kongres Parti Pekerja yang Korea Utara sudah menyelesaikan rancangan untuk kapal selam bertenaga nuklear. – AFP, 16 September, 2021.
Komen